26.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

Hentikan boikot, McDonald’s Malaysia tak terlibat agenda Israel

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebagai entiti perniagaan, McDonald’s Malaysia tidak pernah terlibat dalam sebarang agenda yang menyokong Israel.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, penjelasan syarikatnya berhubung isu itu telah diterima baik oleh badan-badan NGO utama seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), MYCARE, Aqsa Syarif, Palestine Centre of Excellence dan Viva Palestina Malaysia.

Menurut beliau, apa yang terjadi di Asia Barat sememangnya sesuatu yang amat memilukan, lebih-lebih dalam suasana kemuliaan bulan Ramadan, ditambah pula dengan dunia yang sedang bertungkus-lumus memerangi pandemik COVID-19.

“Walaupun begitu, ini tidak bererti tohmahan yang tidak berasas dan berunsur fitnah boleh dilemparkan begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir menambah, McDonald’s Malaysia sedar tentang kewujudan mesej WhatsApp yang tular berkenaan pemboikotan jenamanya.

Advertisements

Beliau memberitahu, McDonald’s Malaysia ingin menjelaskan bahawa pemboikotan itu adalah tidak berasas dan kenyataan tentang jenama mereka menyalurkan bantuan kepada pihak Israel adalah pembohongan dan fitnah.

“Fakta yang perlu anda tahu adalah McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) telah diambil alih sepenuhnya oleh syarikat Reza Group dari Arab Saudi bersama seorang rakan niaga tempatan sejak tahun 2017, di mana ekuiti syarikat kami dimiliki oleh mereka yang beragama Islam.

“Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami ingin menegaskan bahawa McDonald’s Malaysia tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik mahupun agama di mana-mana negara sekalipun,” jelasnya.

Azmir berkata, pada 2017, McDonald’s Malaysia telah menjelaskan pendirian kami mengenai isu tersebut dan kenyataan tersebut telah dikongsi secara meluas oleh orang ramai menerusi mesej WhatsApp mereka.

Tambah beliau, kenyataan itu juga telah diterbitkan oleh saluran media arus perdana, media dalam talian dan blog.

“Secara khusus, pihak McDonald’s Malaysia telah membuat laporan polis terhadap individu- individu dan kumpulan-kumpulan yang membuat dakwaan palsu dan menyebarkan mesej tidak berasas melalui platform media sosial dan saluran-saluran lain untuk memboikot restoran-restoran McDonald’s di Malaysia.

“Hal ini juga telah dimaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  (SKMM) untuk membuat tindakan lanjut terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.

“Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi hak-hak dan kepentingan syarikat kami serta lebih 15,000 warga tempatan yang bekerja dengan kami,” jelasnya.

Azmir berkata, pada tahun yang sama, McDonald’s Malaysia juga telah mendapatkan pandangan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang menyatakan bahawa:

1. Seruan “Wajib boikot” hanyalah sah jika ianya diperintah oleh umara’/pemerintah negara. Dalam konteks ini, pemimpin negara Malaysia dan juga mana-mana pihak autoriti Islam dalam Malaysia tidak pernah mengeluarkan apa-apa perintah memboikot McDonald’s Malaysia. Maka, sebarang seruan untuk wajib boikot McDonald’s adalah salah dalam perspektif Islam.

2. Boikot tanpa fakta yang sah boleh dianggap sebagai fitnah dalam hukum Islam, oleh itu tuduhan ke atas McDonald’s Malaysia adalah dianggap fitnah.

3. Pihak McDonald’s Malaysia berhak untuk menuntut ganti-rugi daripada pihak yang telah memboikot — sesuai dengan kerugian dari segi kewangan ke atas syarikat dan kehilangan pekerjaan yang dialami akibat daripada boikot tersebut.

4. Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menyarankan supaya pihak individu/NGO yang telah memboikot dan/atau membuat tuduhan palsu ke atas McDonald’s Malaysia agar mengeluarkan kenyataan awam/terbuka untuk menarik balik kesemua tuduhan yang pernah dibuat ke atas McDonald’s Malaysia.

Sehubungan itu, Azmir berkata, McDonald’s Malaysia akan terus berdoa untuk keamanan Palestin dan semoga penindasan dan keganasan yang berlaku akan segera berakhir. – EDISI 9


Advertisements

Terkini

Selangor sah tarik diri Piala Sumbangsih bertemu JDT

SELANGOR FC (SFC) membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Sultan...

Lagi Artikel Berkaitan