27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pemuda UMNO desak henti cadangan pengambilalihan LTSAAS

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar cadangan pengambillan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang oleh WCT Berhad yang sudah dibawa ke peringkat Kabinet dihentikan serta-merta.

Ketuanya, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu adalah bagi menjamin kepentingan MAHB yang hakikatnya mewakili kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya.

Beliau turut menyenaraikan tujuh asas kenapa pengambilalihan itu harus dihentikan. Berikut kenyataan penuh beliau:

Pergerakan Pemuda UMNO memandang serius isu cadangan pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang oleh WCT Berhad melalui anak syarikat mereka Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB).

LTAAS adalah antara 39 lapangan terbang di seluruh negara yang diuruskan oleh Malaysian Airport Holdings Berhad (MAHB).

MAHB adalah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dimiliki oleh institusi seperti Khazanah Nasional Berhad, KWSP, KWAP dan ASB yang bertindak sebagai operator lapangan-lapangan terbang ini melalui satu perjanjian konsensi jangka panjang bersama Kerajaan Malaysia.

Advertisements

Antara mandat MAHB adalah untuk memastikan caj perkhidmatan penumpang yang dikenakan kepada rakyat yang menggunakan lapangan terbang di negara ini adalah berpatutan dan memastikan agar semua 39 lapangan terbang ini beroperasi dengan lancar dan baik.

Asyraf Wajdi Dusuki
ASYRAF WAJDI DUSUKI

Pemuda UMNO berpendapat agar sebarang usaha pengambilalihan oleh WCT Berhad ini harus dihentikan serta merta berasaskan 7 asas berikut:

  • Aset lapangan terbang adalah aset strategik bagi negara terutamanya melibatkan soal keselamatan negara, ketenteraan, keterhubungan wilayah dan rancangan pembangunan ekonomi negara.

Kawalan ke atas aset ini melalui syarikat GLC adalah penting bagi menjamin kepentingan negara (national interest) tidak terlepas ke tangan pihak swasta yang lebih berorientasikan ‘memaksimumkan keuntungan’.

  • LTSAAS adalah antara lapangan terbang yang memberikan keuntungan besar kepada MAHB dan hasil pendapatan dari LTSAAS digunakan untuk membiayai operasi atau subsidi bersilang (cross-subsidy) lapangan-lapangan terbang lain termasuklah lapangan terbang kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.
  • Cadangan oleh WCT Berhad dibuat dengan tergesa-gesa dan dilihat mengambil kesempatan di kala kekeliruan negara sedang dilanda gelombang baru wabak pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.

Cadangan ini difahamkan cuba diangkat tanpa melibatkan entiti penting seperti Kerajaan Negeri Selangor, Unit Perancang Ekonomi (EPU) JPM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dan lain-lain

  • Model perniagaan yang ditawarkan oleh WCT Berhad untuk LTSAAS adalah lebih bercorak pembangunan hartanah mewah dan gedung membeli belah untuk keuntungan jangka masa singkat semata-mata.
  • Cadangan WCT Berhad untuk LTSAAS juga tidak holistik dan tersasar jauh dari Pelan Induk Pembangunan lapangan Terbang Subang yang dibangunkan oleh oleh MAHB sendiri.

Pelan ini bertujuan untuk meletakkan Subang sebagai Hub Aeroangkasa Global yang boleh mencipta lebih 19,000 pekerjaan berpendapatan dan berkemahiran tinggi dan seterusnya menyokong sebanyak 74,000 pekerjaan dalam keseluruhan ekonomi.

  • MAHB mempunyai kepakaran, keupayaan dan pengalaman untuk melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Lapangan Terbang Subang ini termasuklah perlaburan berjumlah RM1.3 billion yang dibiayai sendiri oleh MAHB.
  • Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini tidak boleh meneruskan lagi pendekatan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ghairah menjual aset-aset strategik dan bernilai tinggi milik Kerajaan kepada pihak swasta untuk membiayai operasi Kerajaan.

Justeru, Pemuda UMNO mendesak agar cadangan yang dimaklumkan sudah sedia untuk dibawa ke peringkat Kabinet haruslah dihentikan serta merta bagi menjamin kepentingan MAHB yang hakikatnya mewakili kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya! – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan