30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

25 pemain jalani kem latihan pusat, 13 dari JDT

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe memanggil 25 pemain skuad Harimau Malaya untuk menyertai kem latihan bagi menghadapi baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan depan.

Daripada jumlah tersebut, 13 pemain dari Johor Darul Ta’azim (JDT) dipanggil menjalani latihan bermula 16 Mei ini bagi menghadapi Emeriyah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, Vietnam (11 Juna) dan Thailand pada 15 Jun.

Sebanyak 19 pemain yang telah dipanggil menyertai kem latihan pusat di Johor Bahru pada 22 hingga 28 Mac lalu dikekalkan oleh Cheng Hoe.

Bagaimanapun pemain pertahanan, Shahrul Saad dan penyerang, Shahrel Fikri Md Fauzi terpaksa diketepikan selepas masing-masing mengalami kecederaan pada perlawanan Liga Super 2021, PJ City FC lwn Perak FC dan Sri Pahang FC lwn Selangor FC, 5 Mei lalu.

“Bagi melengkapkan 25 pemain, seramai tiga muka baharu telah disenaraikan iaitu penjaga gol, Samuel Somerville (Penang FC), Liridon Krasniqi (Newcastle Jets) dan Arif Aiman Mohd Hanapi (Johor Darul Ta’zim) serta tiga lagi pemain yang kembali dipanggil iaitu Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim), Dominic Tan (Police Tero FC) dan Junior Eldstal (Chonburi FC).

“Skuad Harimau Malaya akan mula turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama empat hari bermula 16 hingga 19 Mei 2021 sebelum terbang ke Dubai pada 20 Mei bagi perlawanan persahabatan pertama (bukan Tier 1) bertemu Kuwait di sana pada 23 Mei 2021,” kata kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Bagi empat pemain yang beraksi di liga luar iaitu Liridon, Junior, Dominic serta Luqman Hakim Shamsudin, mereka tidak perlu melapor diri di Kuala Lumpur pada 16 Mei, sebaliknya terus dari negara masing-masing iaitu Australia, Thailand dan Belgium untuk menyertai pasukan di Dubai pada 20 Mei 2021.

Kemudian pada 25 Mei 2021, skuad Harimau Malaya akan terbang pula ke Manama, Bahrain bagi perlawanan persahabatan kedua (Tier 1) bertemu Bahrain di sana pada 28 Mei 2021 dan kembali ke Dubai pada 31 Mei bagi persediaan terakhir menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan.

Malaysia akan bertemu UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada Khamis, 3 Jun jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai pada Jumaat, 11 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum pada Selasa, 15 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia).

Selepas lima perlawanan setakat ini, Vietnam berkedudukan di tangga teratas Kumpulan G dengan 11 mata diikuti Malaysia (9), Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0). Hanya UAE kurang satu perlawanan.

Malaysia sebelum ini memulakan kempen kelayakan dengan menewaskan Indonesia 3-2 di Jakarta pada 5 September 2019 tetapi kalah tipis 2-1 kepada UAE pada aksi kedua di Bukit Jalil pada 10 September 2019.

Kemudian Malaysia tewas lagi, kali ini kepada Vietnam 1-0 di Hanoi pada 10 Oktober 2019 tetapi bangkit meraih dua kemenangan berturut di Bukit Jalil dengan menewaskan Thailand 2-1 pada 14 November 2019 dan Indonesia 2-0 pada 19 November 2019.

Namun saingan yang sepatutnya bersambung pada Mac 2020 terpaksa ditangguhkan lebih setahun akibat situasi tidak menentu pandemik COVID-19.

Sementara itu beberapa peminat bola sepak negara melahirkan rasa kurang senang dengan pemilihan begitu ramai pemain JDT walaupun ada di antara mereka lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Mereka kecewa Cheng Hoe seolah-olah menutup mata dengan prestasi beberapa pemain dari kelab lain termasuk pasukan Liga Perdana yang dikatakan beraksi cemerlang dalam Liga Malaysia musim ini.

Antara pemain yang mereka harapkan dapat dipanggil menjalani kem latihan tersebut ialah dua pemain muda, Mohamad Hakimi Abdullah dan Mohd Faisal Abd Halim dari Terengganu FC.

Bagaimanapun beberapa peminat lain mempertahankan keputusan Cheng Hoe memandangkan ketua jurulatih itu mempunyai masa yang singkat untuk membentuk pasukan mantap bagi menghadapi tiga perlawanan penting tersebut. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan