27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

6 daerah Selangor bawah PKP, SOP ketat sambutan Aidilfitri

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebanyak enam daerah di Selangor diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 6 hingga 17 Mei ini manakala sambutan Aidilfitri bakal berlangsung dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daerah-daerah terlibat adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Menurut beliau, langkah itu diambil berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di daerah-daerah terbabit.

“Tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih di bawah PKP Bersyarat (PKPB),” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

taman perumahan sabri SOP Aidilfitri
ISMAIL SABRI YAAKOB

Ismail Sabri berkata, pergerakan merentas negeri dan daerah dalam kesemua enam daerah PKP terbabit adalah tidak dibenarkan sama sekali, kecuali atas urusan kecemasan.

Premis makanan seperti restoran, food truck, penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 12 tengah malam sahaja.

Kedai runcit, serbeneka dan keperluan harian serta farmasi juga dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam.

Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam namun stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.

Bazar Ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut SOP ketat.

Walau bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan atau menutup operasi bazar adalah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

Berhubung prosedur operasi standard (SOP) sambutan Hari Raya Aidilfitri, Ismail Sabri memberitahu, takbir raya di masjid atau surau hanya dibenarkan di kawasan PKP, PKPB dan PKPP mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.

“Namun begitu, bagi kawasan PKPD, ia tidak dibenarkan,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau menambah, amalan takbir dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan di semua kawasan.

Bagi kawasan PKP, PKPB dan PKPP, solat sunat hari raya dibenarkan di masjid atau surau namun dengan jumlah kehadiran serta penyertaan jemaah lelaki, wanita dan kanak-kanak mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.

Bagi kawasan PKPD, SOP Aidilfitri menetapkan bahawa solat sunat hari raya di masjid atau surau adalah tidak dibenarkan.

“MKN juga telah membuat keputusan bahawa jamuan selepas solat hari raya di masjid atau surau, rumah terbuka hari raya, ziarah tanah perkuburan adalah tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKPD.

“Bagi kawasan PKPB dan PKPP, jamuan selepas solat har raya di masjid dan surau dibenarkan tertakluk kepada pihak berkuawsa agama negeri.

“Jawatankuasa masjid atau surau digalakkan menyediakan juadah secara berbungkus dan diedarkan kepada para jemaah untuk dibawa pulang,” kata Ismail Sabri.

Beliau menambah, ziarah hari raya bagi kawasan PKP adalah dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tetamu adalah tidak melebihi 15 orang padan satu-satu masa mengikut saiz rumah dan penjarakan fizikal.

Ismail Sabri berkata, ziarah hari raya di kawasan PKPB dan PKPP pula adalah dibenarkan mulai 1 hingga 2 Syawal sahaja.

“Namun, bagi kawasan PKPB, kehadiran tetamu terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal,” jelasnya.

Bagi kawasan PKPP, ziarah hari raya dibenarkan dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 25 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

Tuan rumah digalakkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu badan, menggunakan QR Code MySejahtera atau menyediakan buku bagi mencatatkan nama dan nombor telefon tetamu.

Ziarah tanah kubur dibenarkan bagi kawasan PKPB dan PKPP dengan syarat had tidak melebihi enam orang bagi satu lot / petak kubur serta tidak lebih daripada 30 minit.

Walau bagaimanapun, ziarah tanah kubur bagi kawasan PKP dan PKPD adalah tidak dibenarkan.

Bagi kawasan PKPD, sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya dibenarkan dalam kalangan ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.

Mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk keluar dari rumah dan melakukan amalan kunjung-mengunjung.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan, penganjuran majlis rumah terbuka adalah tidak dibenarkan di seluruh negara.

Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa gelembung perjalanan dari dan ke kawasan PKP Pemulihan (PKPP) ditangguhkan sehingga tarikh yang ditentukan kemudian. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan