24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

UMNO akan terus bersuara untuk rakyat – Asyraf Wajdi

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – UMNO menyatakan iltizam untuk terus bersuara untuk rakyat selepas berjaya memperjuangkan isu i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga membawa impak positif kepada ekonomi negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki berkata, walaupun dilemparkan pelbagai tuduhan, namun akhirnya perjuangan parti itu membela isu i-Sinar membuahkan kejayaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat terus menyalurkan pandangan dan kegelisahan mereka kepada Pemuda UMNO untuk diketengahkan kepada kerajaan.

“Alhamdulillah, tidak sia-sia perjuangan kita semua membela dan mengangkat suara rakyat berkenaan i-Sinar KWSP, walaupun diperli, dituduh macam-macam, namun akhirnya ternyata diperakui Bank Negara Malaysia mempunyai impak dan kesan positif kepada ekonomi.

“InsyaAllah Pemuda UMNO akan terus bersuara untuk rakyat. Teruskan beri pandangan dan menyuarakan apa sahaja kegelisahan semua yang mahu Pemuda ketengahkan sebagai Penyambung Lidah Rakyat,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

KWSP umum dividen 2020
Pengeluaran i-Sinar KWSP seperti diperjuangkan UMNO dikatakan telah membawa kesan positif kepada ekonomi negara. – Foto: Edisi 9/ MOHD NAIM AZIZ

Semalam, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pengeluaran skim i-Sinar KWSP dilihat memberi impak langsung yang positif kepada ekonomi sebenar yang menyokong penggunaan domestik.

Memetik laporan Harian Metro, beliau berkata, dari segi simpanan persaraan, bagaimanapun, penampan perlu diperkukuh dan dibina semula.

Advertisements

Sementara itu Ketua Penyelidikan MIDF Imran Yusof turut berpandangan bahawa pengeluaran i-Sinar, terutama secara menyeluruh, sebagai positif kepada ekonomi sebenar.

Beliau berkata, pengeluaran itu tidak akan memberi impak kepada kecairan KWSP yang disifatkannya sebagai antara peserta utama dalam pasaran ekuiti dan mempunyai kecairan yang mencukupi untuk menyokong pasaran.

Sementara itu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara paling lantang mendesak kerajaan melaksanakan pengeluaran i-Sinar turut bersyukur kerana apa yang diperjuangkan membawa impak positif.

“Sebab itu, saya dan BN (Barisan Nasional) sangat tegas untuk tuntut kerajaan melaksanakan dengan segera apabila saya tengok bajet 2021 yang dicadangkan kerajaan tidak mencukupi dan ramai sudah tertekan,” katanya hari ini.

Desakan demi desakan Najib terhadap kerajaan akan memberi kelonggaran dalam pengeluaran i-Sinar sebelum ini menimbulkan kecaman di pihak kerajaan.

Ini termasuk melabelkan permintaan bekas Menteri Kewangan itu bagai Puteri Gunung Ledang. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan