28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Maritim Malaysia tenggelamkan 2 bot nelayan Vietnam

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

MERCHANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menenggelamkan dua bot nelayan Vietnam yang didapati menceroboh dan menangkap ikan dalam perairan negara, hari ini.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua bot yang dilucut hak oleh mahkamah pada 2020 itu dijadikan tukun tiruan di lokasi berhampiran perairan Gong Balai.

“Kesemua bot ini ditahan melalui OP Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM) Gemia.

“Ini merupakan pelupusan ketujuh dalam tahun ini oleh Maritim Malaysia Terengganu dan dijangkakan sebanyak 40 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat perlucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Menurut beliau, sehingga kini, sebanyak 102 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Malaysia Terengganu.

Muhammad Suffi menambah, kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia dalam mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

Advertisements

Program pelupusan bot itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Suffi berkata, KM Pekan berjaya menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam bersama 20 kru yang nekad cuba melarikan diri dengan menukar haluan serta melepaskan tali tambatan pada jarak lebih kurang 120 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, apabila dirapati untuk diperiksa kelmarin.

Beliau memberitahu, bot tersebut enggan memberikan kerjasama apabila pasukan geledah KM Pekan yang sedang melaksanakan OP Kuda Laut cuba membuat pemeriksaan, sekali gus menghalang tugas penjawat awam.

Vietnam
Bot nelayan Vietnam cuba melarikan diri daripada KM Pekan di perairan Terengganu kelmarin. – Gambar: Maritim Malaysia

“Bot nelayan tesebut disyaki menggunakan nombor patil palsu serta melanggar syarat lesen iaitu tiada permit kerja dan melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran,” jelasnya.

Muhammad Suffi menambah, 20 kru termasuk tekong berumur antara 21 hingga 52 tahun turut ditahan serta merampas hasil tangkapan laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta.

Bot serta 20 kru dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan