25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 18, 2021

Langgar SOP: Penguat kuasa janganlah macam ‘pembaris’

Must Read

Oleh AZIZI SALIM

PENULIS simpati dengan enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikenakan kompaun RM1,500 seorang gara-gara tidak memakai pelitup muka ketika berada di kantin kolej mereka.

Berdasarkan laporan media, kompaun itu dikeluarkan oleh penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri yang dikatakan melawat kolej tersebut untuk memeriksa tahap kebersihan kantin.

Namun sebaliknya, mereka bertindak mengenakan kompaun kepada pelajar terbabit yang dimaklumi sudah lebih lima bulan ‘berkurung’ di dalam kawasan kolej tersebut dan tidak bertemu dengan orang luar.

Penulis mengucapkan syabas kepada pihak penguasa terbabit yang pantas mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Namun dalam bertindak tegas itu, para penguat kuasa baik Jabatan Kesihatan, anggota polis dan kini pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP janganlah jadi pembaris.

Mereka kenalah lihat situasi dan kondisi sebelum mengambil tindakan. Bahkan ada tindakan yang diambil tidak seiring dengan pengumuman yang dibuat oleh pihak menteri.

Misalnya pihak kementerian memberi kelonggaran kepada individu yang berada di luar rumah bersendirian atau bukan kawasan umum untuk tidak memakai pelitup muka.

Malangnya apabila orang ramai mengikut keputusan dibuat menteri, mereka sebaliknya tetap dikenakan kompaun.

Lebih lucu apabila pesalah boleh pula membuat rayuan selepas surat kompaun dikeluarkan untuk mengurangkan bayaran. Ini dah macam amalan kapitalis yang mana kaedah “kompaun dulu, rayuan kemudian” diamalkan.

Nasib sama dihadapi oleh enam pelajar kolej terbabit yang mana menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin, mereka boleh mengemukakan rayuan untuk mengurangkan kompaun.

“Saya yakin jumlah pengurangan itu seminimum mungkin dan mampu dibayar pihak pelajar dan jika sampai mereka tidak mampu untuk membayar kompaun, InsyaAllah saya juga boleh membantu untuk menyelesaikannya,” katanya seperti dilapor media, semalam.

Penulis tertanya-tanya juga, berapakah jumlah pengurangan kompaun yang akan diberi kepada para pelajar terbabit? Apakah daripada RM1,500 menjadi RM150?

Sebagai pelajar yang tentunya bukan dari kluster kayangan, sudah tentu jumlah pengurangan waima RM150 sekali pun masih lagi membebankan mereka.

Exco terbabit janganlah membandingkan kemampuan pelajar tersebut dengan kemampuan seorang selebriti atau influencer.

Memang benar daripada RM1,500 dapat dikurangkan kepada RM1,000 atau RM500 bagi selebriti dan influencer tidaklah membebankan. Tapi mereka pelajar kolej yang diberi elaun oleh kerajaan.

Penguat kuasa kenalah siasat dahulu sebelum mengenakan kompaun, bukannya “kompaun dulu, siasat kemudian.” Sekali lagi, jangan jadi pembaris dan janganlah terlalu mengikut buku.

Bukankah menteri sudah putuskan mereka yang kali pertama melanggar SOP tidak dikenakan kompaun, sebaliknya hanya perlu diberi amaran?

Apa yang menghairankan, apabila isu melanggar SOP melibatkan selebriti, orang kenamaan atau menteri mereka tidak pula pantas mengeluarkan kompaun.

Ada selebriti yang terang-terang melanggar SOP, masih lagi belum dikenakan tindakan walaupun mereka sudah mengaku salah.

Apakah kerajaan hari ini mengamalkan undang-undang terpilih yang mana undang-undang ini hanya untuk golongan marhain sedangkan bagi kluster kayangan, mereka kebal terhadap undang-undang tersebut?

Sudah tentu mereka menafikannya, tetapi rakyat tidak buta dan mereka boleh melihat sendiri maklum balas berbeza antara dua kasta ini.

Tindakan-tindakan seperti ini sudah tentu akan meningkatkan amarah rakyat terhadap kerajaan hari ini. Tidak hairanlah mereka menggelarkannya sebagai #KerajaanGagal.

Jika keadaan demikian berlaku janganlah salahkan mana-mana pemimpin politik yang konon terus menerus memburukkan kerajaan sementelah mereka sendiri merosakkan imej dan reputasi sendiri.

Ingatlah, jika rakyat menggunakan kuasa mereka untuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tidak mustahil mereka boleh menukar kembali kerajaan hari ini pada PRU akan datang.

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Latest News

Korea Utara tarik diri: Malaysia rayu FIFA adil buat ketetapan

CYBERJAYA - Malaysia menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penarikan diri Korea Utara daripada kelayakan...

More Articles Like This