33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Kenaikan harga barangan masih terkawal – Alexander

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati kenaikan harga barangan di seluruh negara adalah masih terkawal.

Memetik laporan BH Online, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bekalan masih stabil dan mampu memenuhi permintaan.

Pada masa yang sama, menurut beliau, pihaknya memandang serius perbuatan peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

“Berdasarkan aduan diterima, KPDNHEP melakukan pemeriksaan segera terhadap dakwaan berlaku kenaikan harga beberapa barang keperluan di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.

“Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap mana-mana peniaga ayam yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011),” katanya kepada BH, hari ini.

Alexander menambah, peniaga yang didapati mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa mematuhi perundangan pencatutan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 14 (1), AKHAP 2011.

Beliau memberitahu, pemantauan dan pemeriksaan dijalankan secara berterusan setiap hari bagi memastikan setiap peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

Alexander berkata, setakat bulan lalu, KPDNHEP telah memeriksa sebanyak 231,163 premis perniagaan.

Daripada jumlah itu, beliau menyatakan, sebanyak 2,108 kes dibuka bawah AKHAP 2011 manakala 350 kes lagi mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Bahagian penguat kuasa sudah mendapatkan maklumat harga terkini melalui semakan oleh pegawai penguat kuasa di negeri berkaitan.

“Bagi isu ayam, input harga peringkat ladang dan pemborong juga diterima daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi di bawahnya seperti Jabatan Pertanian Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” jelasnya.

Mengulas faktor yang menjadi punca kenaikan harga ayam, Alexander berkata, secara amnya ia dipengaruhi peningkatan permintaan melebihi penawaran, perubahan nilai mata wang asing yang lebih tinggi berbanding ringgit, aktiviti monopoli, perubahan iklim dan cuaca serta kadar upah pekerja.

Selain itu, katanya, perubahan dasar negara asal jika membabitkan barang diimport, peningkatan harga bahan mentah atau komoditi dan terma bayaran oleh peniaga daripada pembekalan.

Katanya, tindakan peniaga mengambil kesempatan membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah atau menyorok bekalan juga mempengaruhi harga ayam.

Mengenai bekalan ayam ketika Ramadan, Alexander berkata, pengguna tidak perlu bimbang kerana ia mencukupi bukan sahaja pada bulan puasa, malah Aidilfitri.

Katanya, berdasarkan maklum balas daripada MAFI mendapati bekalan ayam stabil dan mencukupi sekali gus dapat memenuhi penawaran serta permintaan pengguna.

“Ketika ini, dianggarkan bekalan bagi ayam pedaging di pasaran adalah sebanyak 66 juta ekor sebulan. Jumlah pengeluaran ayam ini cukup bagi menampung keperluan dan permintaan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Terkini

Isu kalimah Allah tidak boleh dipandang remeh – Tunku Ismail

ISU kalimah Allah pada stoking yang dijual oleh rangkaian kedai serbaneka tidak boleh dipandang remeh, titah Pemangku Sultan Johor,...

Lagi Artikel Berkaitan