CYBERJAYA – Jika ada antara kita yang masih menaruh harapan untuk pulang kampung menyambut Aidilfitri tahun ini, mereka harus melupakan sahaja impian itu.
Ia berikutan pengumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mencadangkan aktiviti rentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ditangguhkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ia kerana penularan wabak COVID-19 masih berada di tahap membimbangkan.
“Banyak pihak merayu kerajaan untuk membenarkan rentas negeri untuk perayaan Hari Raya Aidilfitri. KKM mencadangkan rentas negeri ditangguhkan. Ia berikutan terdapat varian baharu dalam komuniti dan program imunisasi masih diteruskan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan buku “Malaysia Health Sector Response To COVID-19 Pandemic – Perspectives From The Field” di Pejabat Menteri Kesihatan pada Khamis.
Ditanya sama ada individu yang sudah selesai menerima kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan diberikan pengecualian untuk merentas negeri sempena perayaan tersebut, Dr Adham berkata pihaknya masih menunggu dapatan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).
“Kami masih menunggu lagi beberapa dapatan daripada WHO dan CDC untuk menjelaskan kepada kami sama ada perkara tersebut boleh dibenarkan untuk dikecualikan daripada aktiviti rentas negeri.
“Bagaimanapun, bagi mereka yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan, aktiviti merentas negeri dibenarkan kerana ia merupakan satu keperluan untu mereka bertugas,” katanya lagi.
Keputusan sama ada kerajaan akan membenarkan rentas negeri menjelang Ramadan beberapa hari lagi bergantung kepada kajian risiko dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pada 9 April lalu Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya kajian mendapati risikonya tinggi maka rentas negeri tidak akan dibenarkan.
“Kita jangan terlalu selesa dengan keadaan sekarang kerana kes baharu Covid-19 harian masih lagi lebih 1,000 kes.
“Waktu kita buat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mula-mula dulu jumlah kes dilaporkan adalah 347 kes dan sekarang kes lebih 1,000. Kita masih lagi dalam keadaan angka kes yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pengumuman lebih awal mengenai keputusan sama ada membenarkan rentas negeri sempena sambutan Aidilfitri.
Katanya, pengumuman lebih awal akan memudahkan orang ramai membuat persiapan dan mengurangkan kesesakan pembelian tiket pengangkutan awam.
Sementara itu, statistik yang dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui laman Facebook beliau hari ini menunjukkan jangkitan baharu COVID-19 kembali melepasi 2,000 kes.
Sebanyak 2,148 jangkitan baharu dicatatkan hari ini di mana Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 512 kes diikuti Selangor (459 kes), Kelantan (221 kes), Sabah (202 kes), Johor (182 kes), Kuala Lumpur (171 kes), Pulau Pinang (134 kes), Terengganu (57 kes), Melaka (53 kes), Perak (51 kes), Negeri Sembilan (34 kes), Pahang (34 kes), Kedah (26 kes), Putrajaya (8 kes), Labuan (3 kes) dan Perlis (1 kes). – EDISI 9