33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Perdana Menteri beri jaminan tiada PKP kali ketiga

Mesti Baca


CYBERJAYA – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan tidak berhasrat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ketiga.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menjelaskan, pemain industri harus memastikan pematuhan yang tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP), terutama yang melibatkan kemudahan tempat tinggal pekerja.

“Tolong terus sediakan kemudahan selamat dan sesuai yang akan membantu memastikan tiada kesesakan dan mempertingkatkan kebersihan tempat tinggal pekerja, yang akan membantu mengurangkan risiko penyebaran virus.

“Ini juga peringatan bahawa kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula PKP.

“Bagaimanapun PKP bersasar akan dilaksana di tempat tertentu yang berpotensi mencetuskan penyebaran,” katanya ketika berucap pada sesi dialog bersama industri anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini hari ini seperti dilapor Astro Awani.

Mengenai pengisytiharan Darurat, beliau memberi jaminan bahawa tiada motif jahat di sebalik langkah itu seperti beberapa kebimbangan dibangkitkan sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri berkata pengisytiharan tersebut dilakukan dengan tujuan utama membendung penularan pandemik COVID-19 serta mempercepatkan langkah perundangan berkaitan pengurusan wabak itu.

”Ini merangkumi penggunaan aset hospital swasta, mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan menggunakan sumber hospital swasta bagi merawat pesakit COVID-19,

“Jadi, sila yakin bahawa tidak ada motif jahat di sebalik pengisytiharan Darurat ini,” katanya seperti dilapor BERNAMA.

Perdana Menteri juga mengulangi bahawa Darurat tidak akan digunakan untuk melanggar hak asasi manusia, harta persendirian dan hak undang-undang lain.

Katanya Malaysia berpegang teguh pada prinsip kedaulatan undang-undang, justeru, ia tidak akan bertindak dengan cara yang boleh menghina prinsip undang-undang yang dipegangnya.

“Sehubungan itu, adalah penting bahawa komuniti perniagaan, baik domestik dan antarabangsa memahami ini,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata usaha memerangi pandemik COVID-19 adalah tanggungjawab bersama kerajaan, sektor swasta, masyarakat dan individu dan semua pihak ini perlu berganding bahu dalam membanteras krisis ini.

Pada 12 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Darurat sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gelaja wabak COVID-19.

Terkini

Isu kalimah Allah tidak boleh dipandang remeh – Tunku Ismail

ISU kalimah Allah pada stoking yang dijual oleh rangkaian kedai serbaneka tidak boleh dipandang remeh, titah Pemangku Sultan Johor,...

Lagi Artikel Berkaitan