32.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Tiada lagi PKP menyeluruh, kuat kuasa ikut lokaliti

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri.

Menurut Perdana Menteri, sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

Beliau berkata, langkah itu adalah dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kerajaan juga akan melaksanakan strategi kawalan penularan COVID-19 secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara,” katanya dalam pengumuman khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) secara langsung, petang ini.

Pemerkasa yang bernilai RM20 bilion dengan suntikan fiskal baharu oleh kerajaan berjumlah RM11 bilion akan menumpukan 20 inisiatif strategik yang menyeluruh bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

Berhubung pelaksanaan PICK, Muhyiddin memberitahu, kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022.

“Untuk mencapai sasaran ini, seramai 15 ribu petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin atau PPV di seluruh negara.

Advertisements

“Mengambil kira pertambahan tugas tersebut, kerajaan bersetuju Bantuan Khas COVID-19 dengan kadar RM200 dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan,” jelasnya.

Perdana Menteri menambah, selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan prosedur operai standard (SOP) dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 secara menyeluruh.

Menurut beliau, bagi melindungi golongan pekerja, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melaksanakan inisiatif Safe@Work yang mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif bagi para pekerja.

“Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program Safe@Work akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam ‘safe work bubble’ sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada COVID-19,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, sebagai galakan kepada syarikat untuk menyertai program yang bersifat sukarela ini, kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja.

“Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada RM50,000 bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI dan telah lulus audit pematuhan Safe@Work. Syarikat boleh mendaftar mulai 1 April 2021,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, majikan yang membuat ujian pengesanan COVID-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan COVID-19 bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Ramasamy, Fadhil amal kempen menyesatkan – Puad Zarkashi

PRESIDEN Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy dan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhil Shaari dianggap mengamalkan kempen...

Lagi Artikel Berkaitan