32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

B40 hilang pendapatan dapat bantuan tunai RM500

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Nasib golongan B40 yang hilang pendapatan terus dibela apabila kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion kepada 2.4 juta penerima di bawah inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan tunai secara sekali bayar sebanyak RM500 diberikan kepada golongan B40 berkenaan.

“Bayaran tambahan sebanyak RM500 diberikan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah,” katanya dalam pengumuman khas Pemerkasa secara langsung, petang ini.

Pemerkasa yang bernilai RM20 bilion dengan suntikan fiskal baharu oleh kerajaan berjumlah RM11 bilion akan menumpukan 20 inisiatif strategik yang menyeluruh bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

Beliau menambah, kedua-dua kategori itu melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan.

Muhyiddin memberitahu, pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem Lembaga hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Insya Allah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, untuk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan kerajaan.

Beliau memberitahu, kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka.

“Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan,” ujarnya.

Muhyiddin turut mengumumkan penambahbaikan subsidi pembelian telefon pintar kepada semua penerima BPR yang kini bernilai RM300, berbanding RM180 yang diumumkan sebelum ini.

Pemberian subsidi itu khusus untuk isi rumah yang mempunyai anak bersekolah bagi pembelian telefon pintar atau peranti baharu.

“Dengan itu, peruntukan program ini akan ditingkatkan kepada RM2 bilion dan insya Allah, akan dilancarkan awal bulan Mei.

“Saya menyeru syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej internet mampu milik dan terus menyediakan kuota data tambahan,” jelasnya.

Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperkenalkan program MyBAIKHATI dengan kerjasama pihak syarikat telekomunikasi sebagai inisiatif crowdsourcing peranti.

“Program ini akan dimulakan dengan penganjuran kempen kutipan peranti terpakai seperti komputer riba yang akan dibaik pulih dan diagihkan kepada antara lain Pusat Internet Komuniti dan pertubuhan komuniti,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

Malaysia kecewa kuasa veto diguna halang Palestin anggotai PBB

MALAYSIA menyuarakan rasa bimbang dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan