33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Majikan pukul pengawal terlibat sindiket ah long, judi haram

Mesti Baca

KLANG – Insiden dua pengawal peribadi yang dipukul majikan kerana mereka berpuasa semalam rupa-rupanya membongkar kegiatan jenayah yang lebih besar.

Empat suspek yang ditahan turut disyaki terlibat dalam sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ah long dan judi haram.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kegiatan itu terbongkar selepas polis melakukan serbuan dan pemeriksaan di rumah salah seorang suspek di Klang.

Menurut beliau, selepas tangkapan dilakukan, polis membuat pemeriksaan dan menemui sejumlah 12,500 keping wang tunai matawang dolar Amerika Syarikat (AS) serta 100 keping jongkong emas dengan berat satu kilogram sekeping.

“Jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM28.45 juta berdasarkan harga emas semasa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini.

Antara yang dirampas adalah sepucuk pistol dengan 10 biji peluru, lima telefon bimbit dan rotan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

Terdahulu, empat suspek berusia dalam lingkungan 35 hingga 43 tahun dibawa ke Mahkamah Klang untuk polis mendapatkan perintah reman pagi tadi.

“Seorang daripada suspek dikenakan reman tujuh hari manakala tiga lagi direman lima hari. Semua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau. Bagi kes di Klang Selatan, polis klasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan 307 Kanun Keseksaan.

“Kita juga menyiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951,” katanya.

Arjunaidi menambah, polismasih menyiasat secara mendalam mengenai sindiket berkenaan termasuk berapa lama kumpulan itu bergiat aktif.

Beliau juga meminta agar orang ramai bertenang serta tidak membesarkan isu ini termasuk mengaitkan dengan isu perkauman.

Semalam, tular di media sosial dua pengawal keselamatan mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, dalam satu kenyataan memberitahu, kedua-dua mangsa seterusnya mengikut suspek yang berusia 43 tahun itu ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, sebelum dipukul dengan sebatang rotan dan diacukan pistol. – EDISI 9

Terkini

Agong murka isu stoking tertera kalimah Allah

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di...

Lagi Artikel Berkaitan