25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Agong ucap tahniah 2 pelajar Malaysia masuk Harvard College

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar muda Malaysia di atas kecemerlangan mereka sehingga dipilih dan diterima masuk ke Harvard College di Amerika Syarikat (AS).

Harvard College merupakan sekolah sarjana bagi Harvard University yang terkemuka dan antara terulung di dunia.

Melalui hantaran Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pencapaian cemerlang anak kelahiran Kuantan, Pahang, Muhammad Hamdi bin Ahmad Hakimi, dan Jarell Cheong Tze dari Kuala Lumpur, yang sekali gus menjulang nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Harvard College

Muhammad Hamdi dan Jarell bakal memasuki kelas sarjana bagi tahun 2025, yang mana masing-masing merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ekonomi dan Matematik.

Kedua-dua pelajar ini, yang turut menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia, adalah di antara 1,968 pelajar yang terpilih dan melepasi tahap kelayakan ketat yang ditetapkan dari sejumlah 57,435 permohonan dari seluruh dunia.

Kejayaan kedua-dua belia ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

Kejayaan ini turut membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa.

Seri Paduka menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka berdua menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para belia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.

Seri Paduka mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhammad Hamdi dan Jarell serta mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa di masa hadapan.

Kedua-dua pelajar cemerlang itu adalah produk sistem pendidikan kebangsaan dengan Muhammad Hamdi merupakan lulusan Sekolah Menengah Sains Alam Shah sebelum beralih ke A-Level di Kolej Tuanku Ja’afar sebagai Cendikiawan Bank Negara Kijang.

Manakala, Jarrell menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia dan A-Level di Sekolah Menengah Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur dan Sunway College, Petaling Jaya.

Selain kehebatan dalam bidang akademik, Jarell juga telah mewakili Malaysia dalam Sukan Sea Dancesport, bertanding di bawah bendera Malaysia di Olimpik Matematik Pasifik Asia dan bertanding dalam kejohanan catur antarabangsa.

Manakala, Muhammad Hamdi merupakan seorang pendebat yang juga telah memberikan tuisyen kepada pelajar sekolah menengah.

Beliau lebih berfalsafah, membincangkan pandangan dunia dan pendapatnya mengenai isu masa kini. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan