28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

20 pertubuhan Islam diharamkan kerajaan Sri Lanka

Mesti Baca

COLOMBO – Sebanyak 11 pertubuhan Islam termasuk Daesh dan Al-Qaeda diharamkan oleh kerajaan Sri Lanka mulai semalam.

Selain itu, sebanyak sembilan pertubuhan agama dan sosial yang mewakili umat Islam Sri Lanka turut diharamkan.

Memetik laporan AFP, tindakan itu diambil seminggu menjelang ulang tahun kedua tragedi pengeboman pada Hari Easter yang menyebabkan seramai 279 mangsa terbunuh.

Menurut Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, sesiapa yang mempunyai kaitan dengan semua kumpulan terbabit boleh dihukum penjara hingga 20 tahun jika didapati bersalah.

Beliau memberitahu, sebahagian daripada pertubuhan yang diharamkan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan melakukan pengeboman Hari Easter.

“Langkah berdasarkan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) ini adalah usaha kerajaan yang dibuat dengan niat baik untuk memastikan kedamaian berterusan di negeri ini,” katanya dalam makluman pewartaan.

Penganut agama Roman Katolik mengancam untuk berdemonstrasi di jalanan ketika ulang tahun tragedi kerana mendakwa kerajaan gagal mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas serangan berkenaan.

Seramai tujuh rakyat Sri Lanka melancarkan serangan di tiga gereja dan hotel pada April 2019, menyatakan ikrar janji setia kepada pemimpin Daesh ketika itu, Abu Bakar al-Baghdadi.

Advertisements

Walau bagaimanapun, pasukan penyiasat memutuskan tidak menemui bukti yang boleh mengaitkan serangan itu dengan Daesh.

Dua pertubuhan tempatan yang dikaitkan dengan serangan itu sudah diharamkan pada 2019, namun pasukan siasatan Presiden mengenai pengeboman itu mahu semua pertubuhan seumpamanya turut diharamkan.

Dalam serangan itu, kesemua tujuh pengebom turut maut, menyebabkan tiada suspek yang didakwa.

Pada masa yang sama, Ketua Gereja Roman Katolik Sri Lanka, Cardinal Malcolm Ranjith, mendesak tindakan pantas diambil bukan hanya terhadap mereka yang bertanggungjawab tetapi ahli politik dan pegawai yang gagal mengekang kejadian itu turut diambil tindakan.

Siasatan mendapati Maithripala Sirisena iaitu Presiden ketika itu dan pasukan perisiknya sudah diberi amaran oleh India mengenai serangan terbabit 17 hari sebelum ia dilancarkan.

Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan terhadap tiga warga Sri Lanka berhubung pengeboman itu, di mana lima warga AS adalah antara 45 rakyat asing yang turut terkorban.

Hasil laporan siasatan itu, yang dikeluarkan awal tahun ini, turut mengesyorkan pertubuhan Buddha yang dituduh menghasut rusuhan antara komuniti sebelum dan selepas pengeboman turut diharamkan, namun tiada yang dinamakan.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan