24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Suruhanjaya Tinggi Bangladesh tak wajar lancar portal pekerjaan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan amat terkejut dengan tindakan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur yang telah melancarkan portal pekerjaan Chakrir Khoj tanpa sebarang rundingan atau pemakluman rasmi kepada kementeriannya.

Beliau berkata, portal pekerjaan itu dikatakan bertujuan untuk membantu majikan mencari pekerja warga Bangladesh di negara ini.

Saravanan memberitahu, portal pekerjaan ini juga bertujuan membantu warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau yang tinggal melebihi tempoh masa di negara ini untuk menyertai Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Tenaga Kerja yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun lepas.

“Adalah tidak wajar bagi pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh untuk melancarkan portal pekerjaan kerana ia bukan peranan yang sepatutnya dilaksanakan oleh perwakilan diplomatik asing di negara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau merujuk kepada berita yang tersiar di media tempatan mengenai pelancaran portal pekerjaan Chakrir Khoj oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia pada 8 April 2021.

Sementara itu, Saravanan menambah, dari aspek perkhidmatan pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia telah pun mempunyai portal pekerjaan nasional iaitu MyFutureJobs di mana kekosongan jawatan yang melibatkan pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang diiklankan di portal ini.

Beliau memandang serius tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dan perkara itu boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat khususnya pihak majikan.

“Program Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja yang dilaksanakan oleh KSM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mulai 16 November 2020 sehingga 30 Jun 2021 adalah dikendalikan sepenuhnya oleh agensi kerajaan dan majikan-majikan yang memerlukan tenaga kerja tanpa penglibatan vendor/ pihak ketiga.

“Sektor pekerjaan yang terlibat pula hanya merangkumi sektor pembuatan, pembinaan, perladangan dan pertanian,” jelasnya.

Saravanan memberitahu, di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246), pengambilan pekerja asing di negara ini hanya boleh dikendalikan oleh agensi pekerjaan swasta yang berlesen dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Advertisements

Beliau berkata, tindakan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh ini boleh mendorong kemasukan PATI warga Bangladesh ke negara ini kerana tertarik dengan peluang yang dijanjikan oleh portal pekerjaan tersebut.

“Ini secara tidak langsung boleh menjurus kepada eksploitasi pekerja-pekerja PATI yang boleh memberikan imej negatif kepada negara,” ujarnya.

Saravanan berkata, Mesyuarat Kabinet juga telah membincangkan isu pekerja warga asing semalam dan Kementerian Sumber Manusia telah diminta untuk mengemukakan keperluan sebenar pekerja warga asing di semua sektor pekerjaan mengambil kira pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“Walaupun saya sedar akan keperluan semasa pekerja asing dalam bidangbidang yang tidak diminati oleh warga tempatan, saya masih mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam memastikan peluang pekerjaan sedia ada harus diberikan keutamaan kepada warga tempatan.

“Saya juga sedang berbincang dengan majikan dalam sektor-sektor yang terjejas seperti pembinaan, perladangan dan pertanian untuk membuat iklan di MyFutureJobs bagi mengisi kekosongan yang ada bagi memastikan tiada pekerja tempatan yang dipinggirkan,” katanya.

Tidak hanya itu, beliau berkata, portal Chakrir Khoj juga akan menjejaskan peluang dan usaha lebih daripada 400 agensi pekerjaan swasta (APS) kategori C yang berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia untuk membawa masuk pekerja asing.

“Ini kerana agensi ini telah hampir setahun tidak menjalankan perniagaan tetapi perlu membayar fi yang tinggi untuk kekal sebagai ejen.

“Justeru, dalam keadaan semasa, adalah tidak wajar untuk Suruhanjaya Tinggi Bangladesh memperkenalkan portal pekerjaan yang dilihat bercanggah dengan hasrat kerajaan mengenai perancangan keperluaan guna tenaga pekerja warga asing.

“Malah, pada masa yang sama akan memburukkan imej kerajaan dan kementerian,” jelasnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan