28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Apabila syarikat judi pun hasilkan lagu raya…

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

SEMALAM tersebar klip video lagu raya. Menarik lagu itu, dan persembahan videonya pun sangat baik.

Cuma penulis agak terperanjat apabila mendapati klip video itu adalah untuk mempromosi sebuah aplikasi perjudian dalam talian.

Kalau berdasarkan senikata lagu raya itu, ia menggambarkan orang Islam tidak mempunyai wang untuk balik kampung dan menyambut hari raya Aidilfitri.

Maka jalan paling cepat dan mudah untuk mendapatkan wang ialah dengan bermain di aplikasi tersebut, tanpa menunjukkan “ini aplikasi judi”.

Lebih ironi para pelakon klip video itu pula hampir semua digambarkan berbangsa Melayu dan sudah tentu beragama Islam. Ada pula yang siap memakai tudung.

Beberapa hari lepas, kecoh apabila dua bodyguard beragama Islam dipukul dengan rotan dan diacukan pistol oleh majikannya hanya kerana berpuasa.

Majikan bukan beragama Islam itu seperti dilapor media, memberi kata dua sama ada mengikut perintahnya yang membayar gaji atau perintah Allah.

Hasil siasatan polis rupa-rupanya majikan bodyguard itu terlibat dalam kegiatan penganjuran perjudian dalam talian.

Melihat kes tersebut, penulis tertanya-tanya dengan sikap toleransi masyarakat di negara ini pada masa kini. Kenapa kes-kes seperti itu berlaku ketika zaman digital hari ini?

Apakah kerana kelemahan di pihak kerajaan? Masyarakat bukan Islam? Atau kerana umat Islam itu sendiri yang seolah-olah ‘terpaksa’ tunduk kerana lemah dari segi ekonomi serta iman.

Penulis bukanlah nak “melastik” mana-mana pihak cuma penulis merasakan situasi ini tidak berlaku sepanjang 60 tahun pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Kalau penulis salah, tolong betulkan dengan memberi bukti-bukti nyata bahawa keadaan seperti ini pernah berlaku sebelum ini iaitu apabila bukan Islam memperlekeh umat Islam dengan sebegitu berani.

Penulis tak pernah dengar ada kes majikan pukul pekerjanya kerana berpuasa berlaku di Malaysia sebelum ini. – Sumber: Media Sosial

Yelah, dalam usia seperti penulis tak pernah dengar ada orang Islam di Malaysia dipukul oleh mereka yang beragama lain kerana mengamalkan ibadah suruhan Allah. Tak pernah…

Situasi ini sebelum ini hanya dibaca atau didengar berlaku ketika zaman Rasulullah dahulu atau di negara tertentu yang dikatakan menindas umat Islam.

Tapi hari ini berlaku di Malaysia, negara yang sebelum ini disanjung dunia kerana begitu harmoni dengan masyarakat berbilang kaum dan agama dapat hidup bersama aman damai.

Namun dalam soal toleransi beragama, janganlah pula sampai ada yang mengambil kesempatan. Tindakan syarikat judi menghasilkan lagu raya Aidilfitri benar-benar tidak boleh diterima.

Penulis percaya kalaulah hal ini berlaku di negara jiran, ia sudah mengundang kemarahan umat Islam dan tidak mustahil berlaku rusuhan atau setidak-tidaknya demonstrasi jalanan secara besar-besaran.

Mujur keadaan ini berlaku di Malaysia yang mana masyarakatnya tidak cepat melatah dan lebih berfikiran waras dengan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Tetapi andai pihak berkuasa pun tidak dapat membendung hal-hal seperti ini, penulis bimbang ia akan meningkatkan amarah umat Islam yang akhirnya boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini.

Baru sahaja minggu lalu seorang pengarah filem bukan Melayu menceritakan kepada penulis bagaimana dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana menghasilkan sebuah iklan komersial yang didakwa “menghina orang Melayu”.

Walhal katanya, dia mahu menggambarkan bagaimana rakan-rakan dari kaum lain berganding bahu mempertahankan orang Melayu yang didera oleh seorang guru warga asing (penjajah).

Begitulah tegasnya kerajaan terdahulu dalam mempertahankan keharmonian kaum. Jangan sampai ada mana-mana pihak yang memperlekeh kaum lain, apatah lagi membabitkan agama.

Justeru, penulis berharap kerajaan hari ini lebih tegas dalam soal ini. Walaupun ISA sudah dimansuhkan namun gunakanlah segala akta yang ada bagi memastikan keharmonian antara kaum dan agama ini dapat dipelihara dengan baik.

Inilah sahajalah negara kita, tak ada negara lain dan mereka yang berada di sekeliling kita inilah rakan dan jiran kita sama ada mereka Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban; sama ada mereka Islam, Kristian, Buddha atau Hindu.

Jika negara ini musnah dik kerana perbalahan antara kaum dan agama, ke mana lagi kita semua mahu “melarikan diri”. Inilah sahajalah negara kita, inilah sahajalah tanah air kita.

Peliharalah dan jangan rosakkan keharmoniannya.

Lastik! – Berkawan semua tak kira bangsa

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan