31.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

IPEF 2023 platform tangani kejutan pasaran buruh

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

LANDSKAP pasaran buruh yang mengalami kejutan ketara dalam tempoh tiga tahun ini memerlukan tindakan dan penyelesaian yang tuntas daripada semua pihak.

Bertindak daripada itu, Kementerian Sumber Manusia mengambil inisiatif menganjurkan International Public Employment Forum (IPEF) 2023 yang merupakan platform terbaik menggarap strategi mengharungi dunia pekerjaan.

Menterinya, V. Sivakumar berkata, forum selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu bakal menampilkan lebih 28 ahli panel pakar dalam pelbagai bidang.

Katanya, ia juga berperanan sebagai saluran perkongsian pelbagai matlamat pasaran buruh yang akhirnya memberi laba kepada golongan majikan.

“Intipati perkongsian ahli panel dari dalam dan luar negara menerusi IPEF 2023 akan meliputi aspek pemerkasaan tenaga buruh, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta sosial dan urus tadbir pekerjaan.

IPEF 2023 akan diadakan selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Oktober di KLCC. – Edisi9/Perkeso

“Maklumat sebegini mampu menyuntik perubahan positif terhadap rangkaian aspek pengurusan sumber manusia, sekali gus melonjak tahap produktiviti pekerja dan unjuran prestasi syarikat serta mewujudkan tenaga buruh yang utuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Advertisements

Forum itu akan diserikan dengan kehadiran Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Penasihat Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram dan lagenda boling negara, Datuk Shalin Zulifli.

Sivakumar berkata, anjakan perubahan itu tepat pada masanya, dengan mengambil kira kesan kejutan ketara berikutan pandemik COVID-19 yang menyaksikan amalan pengurusan sumber manusia terdahulu bertukar jumud.

“Demi memastikan dasar semasa mencakupi pengurusan sumber manusia, faktor penawaran dan permintaan pasaran buruh serta corak pengoperasian pekerja kekal relevan, pelbagai entiti syarikat gergasi di pentas global merencana hala tuju baharu.

“Sehubungan itu, perincian amalan terbaik diterapkan Bank Dunia, Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), selain pakar dari pelbagai negara akan menjadi panduan terbaik dalam merungkai kejutan pasaran buruh,” katanya.

Menurut Sivakumar, yuran penyertaan IPEF 2023 dalam kalangan sektor swasta boleh dituntut semula daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) menerusi Skim Bantuan Latihan (SBL).

Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan ipef2023.perkeso.gov.my. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zii Jia tamatkan kemarau gelaran, juarai Terbuka Thailand

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menamatkann kemarau gelaran selama tujuh bulan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka...

Lagi Artikel Berkaitan