26.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Azmin diumum sebagai Ketua Pembangkang Selangor

Mesti Baca

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disahkan sebagai Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-15.

Pengumuman itu dibuat Yang Dipertua DUN, Lau Weng San sejurus majlis angkat sumpah 56 ADUN selesai pada Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Penggal Pertama DUN Selangor ke-15 hari ini.

“Saya dengan ini memasyhurkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ADUN Hulu Kelang sebagai ketua pembangkang.

“Diharapkan ketua pembangkang yang dilantik ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya,” katanya mengesahkan menerima surat pencalonan itu daripada Perikatan Nasional (PN) pada 15 September lalu.

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor memaklumkan PN telah membentuk 10 jawatankuasa portfolio yang akan memainkan peranan semak dan imbang kepada Exco kerajaan negeri.

Katanya, beliau sendiri akan mengetuai portfolio Kewangan, Ekonomi, Tanah dan Sumber Alam.

Advertisements

Untuk sembilan lagi portfolio, Datuk Dr Halim Tamuri akan menerajui Pendidikan dan Sumber Manusia; Datuk Seri Jamil Salleh (Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Infrastruktur); Dr Afif Bahardin (Kesihatan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Industri Digital).

Sementara itu, Muhammad Hilman Idham (Generasi Muda dan Sukan); Nushi Mahfodz (Agama Islam dan Pembangunan Desa); Nurul Syazwani Noh (Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan); Sallehein Mukhyi (Pertanian dan Industri Agromakanan) serta Datuk Noorazley Yahya (Pelancongan dan Kebudayaan Warisan Melayu).

“Portfolio berkenaan akan dibantu tiga jawatankuasa lain yang akan dianggotai ADUN-ADUN yang tidak mengetuai mana-mana portfolio berdasarkan pengalaman, latar belakang masing-masing.

“Inilah pendekatan yang kami akan ambil pada sesi-sesi (DUN) akan datang yang mana ikrar dan janji kami kepada rakyat untuk memberikan khidmat yang terbaik melalui perbahasan perbincangan dalam dewan negeri Selangor,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan lalu, PN diketuai Mohamed Azmin gagal merampas kerajaan negeri apabila hanya memenangi 22 kerusi daripada 58 kerusi yang dipertandingkan.

Dalam PRN itu gabungan Kerajaan Perpaduan berjaya memenangi 34 kerusi iaitu 32 daripada Pakatan Harapan (PH) manakala dua lagi daripada Barisan Nasional (BN). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Peranan, tanggungjawab Maritim Malaysia diiktiraf dunia

PERANAN serta tanggungjawab Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diterima dengan baik dan diiktiraf dunia. Ini dibuktikan apabila Maritim...

Lagi Artikel Berkaitan