MALAYSIA perlu menggunakan semua saluran perundangan antarabangsa khususnya melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyatukan suara masyarakat dunia sebelum konflik bertukar menjadi krisis kemanusiaan yang lebih buruk.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, krisis terbaharu antara Palestin dan Israel adalah rentetan panjang yang berpunca daripada kezaliman serta kejahatan rejim Zionis.
“Mereka membunuh, merampas tanah, mengepung dan menindas umat Palestin yang tidak berdosa sejak sekian lama.
“Adalah menjadi hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri mereka daripada terus dizalimi.
“Perikatan Nasional berdiri teguh serta sentiasa bersama-sama dengan perjuangan suci rakyat Palestin.
“Namun, sebarang konflik bersenjata pasti menelan korban nyawa serta membawa kerosakan harta benda dan sehingga tengah hari ini sahaja, sudah lebih 230 nyawa penduduk Palestin yang tidak berdosa terbunuh manakala lebih 1,600 lagi cedera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dunia harus melihat kezaliman yang berlaku dan mesti menghentikan konflik ini dengan segera sebelum lebih ramai mereka yang tidak berdosa menjadi korban.
“Saya juga menggesa kerajaan Malaysia untuk meneruskan ketegasan kerajaan-kerajaan Malaysia terdahulu, termasuk Perikatan Nasional, iaitu Malaysia tidak akan menormalisasi hubungan dengan Israel.
“Pada masa yang sama, marilah kita seluruh umat Islam terus berdoa kepada Allah SWT agar diberikan perlindungan dan keselamatan kepada seluruh rakyat Palestin,”ujar beliau. – Edisi 9

