32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Skim Perubatan Madani diperluas seluruh negara

Kini lebih 80,000 isi rumah B40 telah mendapat manfaat daripada skim tersebut sejak ia diperkenalkan.

Mesti Baca

INISIATIF perkhidmatan kesihatan percuma yang ditawarkan kerajaan melalui Skim Perubatan Madani kini diperluaskan ke seluruh negara bermula 15 September yang lalu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, perluasan skim itu dibuat berikutan sambutan yang menggalakkan dengan kini 80,000 isi rumah B40 telah mendapat manfaat daripada skim itu sejak ia diperkenalkan.

“Lebih 130,000 rawatan kesihatan pesakit luar bagi kes akut telah diberikan melalui klinik swasta dan 80,000 isi rumah mendapat manfaat daripada skim ini.

“Bilangan rawatan yang diberikan hampir mencecah 4,000 sehari dan semakin meningkat. Kini, lebih 1,300 klinik swasta telah mendaftar dan bekerjasama dalam program ini sebagai panel dalam memberikan perkhidmatan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Zaliha berkata, KKM juga mengalu-alukan klinik perubatan swasta di seluruh negara untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani dan berharap Ahli Parlimen membantu mempromosi skim berkenaan di kawasan masing-masing untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat kemudahan kesihatan itu.

Advertisements

Skim Perubatan Madani yang diperkenal sebagai inisiatif bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan kerajaan, sebelum ini dilaksanakan secara rintis di beberapa daerah dan berperingkat hinggalah skim berkenaan tersedia di 21 daerah seluruh negara setakat Ogos lepas.

Skim itu juga bertujuan membantu rakyat khususnya kumpulan B40 mendapatkan rawatan pesakit luar bagi kes akut di klinik perubatan swasta secara percuma.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, kementerian sedang berusaha meningkatkan bilangan ahli fisioterapi memandangkan nisbah ahli fisioterapi KKM dengan penduduk Malaysia adalah 1:17,878, manakala nisbah ahli fisioterapi kerajaan dan swasta dengan penduduk Malaysia pula adalah 1: 6,800.

“Jumlah ini masih rendah dan jauh daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu satu ahli fisioterapi bagi 2,000 penduduk dan hingga 31 Ogos lepas terdapat seramai 1,919 Jurupulih Perubatan Fisioterapi dan Pegawai Pemulihan Perubatan Fisioterapi di KKM.

“Antara langkah diambil untuk meningkatkan bilangan ahli fisioterapi ialah meningkatkan keluaran graduan Diploma Fisioterapi Institut Latihan KKM dan pada 2022 seramai 76 orang telah menamatkan pengajian iaitu peningkatan sebanyak 46 peratus berbanding pada 2020 iaitu seramai 52 orang,” katanya.

Dr Zaliha berkata, kementerian juga melantik Jurupulih Perubatan (Fisioterapi) secara lantikan kontrak bagi kesinambungan penyampaian perkhidmatan dan hingga 31 Ogos lepas, seramai 207 Jurupulih Perubatan (Fisioterapi) lantikan kontrak sedang berkhidmat di KKM. -BERNAMA

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu saksikan pertembungan empat penjuru

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Khairul Azhari Saut...

Lagi Artikel Berkaitan