29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bot nelayan asing ceroboh perairan Malaysia

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing berjaya menahan dua bot nelayan asing bersama 19 kru termasuk tekong warga Vietnam di kedudukan lebih kurang 10 batu nautika timur laut dari Pulau Pemanggil, sekitar pukul 2.00 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kedua-dua buah bot nelayan asing Vietnam itu dikesan dan ditahan kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran dalam satu operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Perikanan.

Menurut beliau, kesemua 19 kru termasuk tekong kedua-dua bot berusia antara 18 hingga 52 tahun turut ditahan kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/ 1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Dua bot serta 19 kru ditahan dan diiringi masuk ke Jeti Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khairul Nizam memberitahu, kesemua tahanan juga telah menjalani saringan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga dalam membendung penularan wabak yang sedang melanda.

Beliau menegaskan, Maritim Malaysia memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara dan usaha mencegah penularan COVID-19 di Malaysia melalui perairan negara.

“Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan tindakan sewajarnya,” jelasnya.

Sebarang aduan jenayah atau melihat sebarang salah laku jenayah, digesa segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

Sementara itu, di LUMUT, Maritim Malaysia Perak telah menahan sebuah bot nelayan tradisional disyaki dari Indonesia di kedudukan lebih kurang 13.0 batu nautika barat daya Pulau Buloh sekitar pukul 1.00 petang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot ronda selepas mengesan satu kontak curiga semasa rondaan bersepadu Op Benteng dan Op Pintas yang dijalankan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lima nelayan warga Indonesia yang ditahan dalam bot nelayan asing di perairan Perak. – Gambar: Maritim Malaysia

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu dikendalikan lima kru warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berumur lingkungan 19 hingga 35 tahun bersama hasil laut dianggarkan kira-kira 50 kilogram.

“Ketika ditahan, bot tanpa nombor pendaftaran itu sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Buloh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu tiada kebenaran bertulis daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/ 63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Menurut beliau, kru dan tekong, serta 50 kilogram ikan campur telah ditahan dan dibawa ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu dan tiba sekitar jam 7.00 petang semalam untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Perak bagi tindakan lanjut. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan