24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Bila hati sudah busuk, semua nampak buruk belaka

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh WAK TOTOK

SEJAK dari hari pertama Ramadan lagi, Wak perhatikan teruk Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong kena kecam oleh segelintir individu berhati busuk.

Puncanya beliau membantu seorang pemuda Melayu Islam bernama Mohamad dari Kelantan memiliki sebuah motosikal bagi memudahkan tugasnya sebagai penghantar makanan.

Sebelum itu, Mohamad mengayuh basikal sahaja untuk menghantar makanan yang dipesan pelanggan.

Tindakan Steven Sim menyumbangkan motosikal kepada Mohamad mendapat liputan meluas dalam media dan dipuji oleh para netizen.

Namun, ada segelintir pihak yang berbeza ideologi politik kelihatan tidak senang hati dengan perkembangan itu.

Sehingga hari ini, mereka gigih mencari pelbagai alasan bagi memperlekehkan usaha murni yang ditunjukkan Steven Sim.

Mereka mempersoalkan benarkah motosikal tersebut berharga RM4,500 malah ada yang mempertikaikan sama ada Mohamad benar-benar wujud.

Ada juga yang membuat lawak kurang bijak tentang tempat duduk basikal yang ditunggang Mohamad kerana kelihatan agak rendah berbanding dengan tubuhnya yang tinggi.

Mungkin mereka tidak membaca maklumat dalam hantaran Facebook Steven Sim yang terang-terang menyatakan tempat duduk basikal itu rosak.

Oh, sungguh busuk hati mereka!

Pada pandangan Wak, tiada apa yang perlu didengkikan terhadap sumbangan yang diberikan oleh Steven Sim.

Memang benar beliau seorang pemimpin DAP, tetapi beliau juga seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat di kawasannya.

Advertisements

Dalam soal kebajikan rakyat, perbezaan fahaman politik sepatutnya ditolak ke tepi.

Jika timbul perasaan dengki, salurkannya ke arah kebaikan dengan berlumba-lumba melakukan amal kebajikan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Sekiranya Steven Sim dapat membantu seorang Mohamad, pasti ada ramai lagi pemuda dan pemudi sepertinya yang memerlukan bantuan.

Carilah mereka dan selidiklah apa jenis bantuan yang mereka perlukan.

Setelah bantuan disalurkan, rakamkan gambar dari sudut yang menarik dan tulis hantaran media sosial dengan gaya bahasa yang menyentuh perasaan.

Kalau tak pandai, upahlah jurugambar profesional dan penulis yang berpengalaman.

Janganlah main tepek gambar berpuluh-puluh keping dan tulis ala kadar sahaja macam dalam buletin jabatan kerajaan.

Bila buat begitu, kita dan penyokong sahaja yang syok sendiri membacanya sedangkan netizen jeling pun tak mahu.

Memang mimpilah hantaran tentang sumbangan kebajikan kita itu akan tular.

Wak nasihatkan, cukup-cukuplah berdengki dengan orang lain, lebih baik perbaiki kelemahan sendiri.

Cara itu jauh lebih baik daripada membuang masa memburuk-burukkan usaha orang lain.

Lagipun bila selalu sangat kondem orang, rakyat pun naik meluat dan memberi kesan buruk kepada parti kita sendiri.

  • Wak Totok ialah seorang pemerhati politik semasa yang teguh memperjuangkan alif, ba, ta sejak dulu kini dan selama-lamanya.
  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan