25.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 17, 2021

MT UMNO: Tiada keputusan berhubung kedudukan Annuar

Must Read

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang keputusan dibuat berhubung kedudukan Tan Sri Annuar Musa sebagai ahli UMNO dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu hari ini.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, tidak langsung menyebut mengenai kedudukan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu.

Ini sekali gus bertentangan dengan laporan media sebelum ini yang mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan itu bakal dipecat sebagai ahli UMNO berikutan tindakannya yang menentang pucuk pimpinan parti.

Memetik laporan Agenda Daily, Annuar bakal mengalami nasib yang sama dengan Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis kelmarin.

Daripada maklumat sumber dalaman, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang merancang untuk mengambil tindakan terhadap Annuar yang juga dikenali sebagai pengkritik utamanya dalam parti.

“Selepas Shahidan, kemungkinan Annuar Musa juga akan mengalami nasib sama… mungkin tindakan lebih tegas,” kata sumber seperti dilapor portal berita tersebut, semalam.

Bagaimanapun Shahidan hanya hilang jawatan Ketua Perhubungan UMNO Perlis yang digantikan oleh Menteri Besar, Datuk Azlan Man manakala statusnya sebagai ahli UMNO masih kekal.

Sementara itu dalam kenyataan media hari ini, Ahmad berkata, UMNO akan mendapatkan nasihat dan garis panduan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melaksanakan pemilihan parti tahun ini

Beliau berkata, nasihat itu perlu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan selaras dengan peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO bahawa pemilihan perlu diadakan dalam tahun ini.

“Ini bagi memastikan proses pemilihan parti yang bakal melibatkan mesyuarat perwakilan UMNO cawangan-cawangan termasuk sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri berjumlah 66,287 mesyuarat di semua 191 Bahagian seluruh negara.

“Melibatkan ahli seramai 3.3 juta orang dapat diadakan dengan berkesan dan lancar mengambil kira jumlah jangkitan Covid-19 yang meningkat,” katanya.

Majlis Tertinggi UMNO turut mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Desakan itu dibuat supaya kerajaan tidak dilihat cuba memandulkan amalan demokrasi berparlimen.

Selain itu Parlimen dan DUN juga menjadi tempat untuk semak dan imbang dalam kalangan wakil rakyat supaya kerajaan tidak melakukan tindakan sesuka hati dan membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Mesti ada akauntabiliti terhadap segala aspek kewangan negara termasuklah perbelanjaan wang rakyat, peningkatan jumlah hutang negara yang melangkaui 60 peratus daripada Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK).

“Penggunaan buat pertama kali dalam sejara Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang merupakan benteng terakhir negara untuk menghadapi keadaan sekiranya sumber asli negara kehabisan,”katanya. – Edisi 9

Latest News

Korea Utara tarik diri: Malaysia rayu FIFA adil buat ketetapan

CYBERJAYA - Malaysia menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penarikan diri Korea Utara daripada kelayakan...

More Articles Like This