32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Cabaran Ramadan My Kampung My Future Merotai

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

MUKADIMMAH:

Minggu ini, saya akan menulis perjalanan MKMF sejak dirancang pada tahun 2012 hinggalah keadaannya hari ini.

Ia diharap akan menjadi rujukan dan panduan kepada semua pihak bagaimana untuk merealisasikan sesuatu dasar pembangunan khususnya di luar bandar secara konsisten dan mampan (sustainable).

Ikuti catatan pertama saya;

Penglibatan awal penulis dengan program MKMF pada tahun 2012 terutama di Merotai, Tawau, Sabah adalah secara tidak sengaja kerana pengalaman penulis yang sudah mahir dengan selok-belok pembangunan sosio-ekonomi terutama belia di Sabah diperlukan oleh Kementerian Pertanian (MOA) ketika itu.

Penulis masih ingat bagaimana Setiausaha Bahagian Dasar, MOA di Putrajaya ketika itu Haji Azini memanggil penulis untuk berbincang bagui memulakan aktiviti MKMF di Merotai setelah beberapa bulan pasukan petugas beberapa agensi mengadakan kunjungan.

Selepas lawatan pertama MKMF di Merotai, pegawai lapangan (desk officer) bernama Emilia memaklumkan dalam mesyuarat berkenaan bahawa belia di Merotai ‘bising’ kerana menganggap MOA sekadar menabur janji kerana tiada sebarang aktiviti dijalankan selepas kunjungan itu.

Dalam masa yang sama, MOA pula sedang berdepan dengan beberapa kekangan seperti peruntukan Kementerian Kewangan berkaitan MKMF yang masih belum disalurkan dan beberapa isu teknikal yang melibatkan kerajaan negeri Sabah.

Namun, pengalaman penulis dalam kegiatan sosio-ekonomi di Sabah dan hubungan baik dengan kerajaan negeri, maka penulis menawarkan diri membantu menyelesaikan kedua-dua perkara tersebut.

Memandangkan tiada peruntukan khas ketika itu, segala perbelanjaan termasuk tiket kepal terbang, penginapan dan makan minum perlu ditanggung sendiri.

Noh Omar diberi taklimat mengenai MKMF Pulau Tiga oleh CEO IGROW, Azri Zahier Azmi.

Tekanan semakin memuncak kepada MOA berlaku apabila Menterinya ketika itu, Tan Sri Noh Omar mensasarkan pelancaran pertama di Merotai, Tawau hendaklah dirasmikan sebelum hujung tahun 2012.

Maka tanpa berlengah masa, penulis menyusun strategi bersama MOA, bagaimana mahu menarik perhatian belia-belia dan pemimpin masyarakat setempat untuk memahami dan mendapat inspirasi dengan program MKMF ini.

Pada bulan Ogos 2012, penulis menjadi fasilitator utama bengkel pertama yang menghimpunkan belia dan pasukan petugas jabatan yang mahu terlibat dengan industri rumpai laut di Kampung Merotai Besar dalam daerah Tawau.

Advertisements

Atas desakan masa juga, penulis terpaksa mengharungi cabaran bengkel sepenuh masa selama dua hari itu yang kebetulan jatuh di bulan Ramadan. Hanya Allah yang tahu.

Bagi menyelesaikan beberapa isu yang melibatkan sensitiviti kerajaan negeri Sabah pula, penulis telah meminta MOA menjemput Dato’ Hajah Jainab Ayid, Pembantu Menteri dan orang kepercayaan Dato’ Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah ketika itu untuk merasmikan bengkel tersebut.

Kebetulan, Tawau adalah kampung halaman Jainab, maka sudah pasti beliau mahu melihat MKMF di Merotai akan berjaya dilaksanakan dengan restu penuh kerajaan negeri Sabah.

Kedua-dua misi pertama itu bukan sahaja dapat meyakinkan belia Merotai bahawa MOA serius mahu menjayakan MKMF tetapi juga berjaya menyelesaikan satu isu sensitiviti yang melibatkan kerajaan negeri melalui kehadiran Jainab.

(Isunya bukanlah terlalu besar tetapi lebih kepada kaedah orang Semenanjung masuk ke rumah di Sabah).

Kejayaan mengorak langkah tersebut, membolehkan MKMF peringkat negeri Sabah dirasmikan oleh Noh pada November 2012.

Hajah Jainab turut mengambil inisiatif untuk membawa rombongan Sabah melawat ke Mukim Pulau Tiga pada bulan berikutnya.

Kampung Merotai bukan sahaja terkenal dengan industri rumpai laut tetapi juga makanan tradisional seperti amplang dan lain-lain. Industri sebegini makin mantap selepas MKMF dilancarkan.

Rumusannya, jika kita bermuafakat, menggembeling tenaga dan kepakaran serta ikhlas untuk bekerja, sesukar mana pun cabarannya, kita tetap akan berjaya.

Dari mula gerak kerja MOA di Merotai, penulis yang ketika itu sedang membangunkan salah satu pusat latihan lain iaitu Institut Skill-Tech (Cawangan Sabah) sanggup mengorbankan masa dan tenaga tanpa dibayar satu sen pun.

Namun, daripada langkah pertama di Merotai, Tawau, Sabah, maka bermulalah era MKMF yang diikuti di Simunjan, Sarawak hingga ke Semenanjung.

MKMF adalah misi mempertahankan legasi sepanjang zaman. Sesuai dengan tema sambutan ulang tahun MKMF Mukim Pulau Tiga.


Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan