31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Wanita UMNO akur dengan segala keputusan PAU, MKT

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Wanita UMNO menyatakan kesediaan untuk akur dengan segala keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, sebagai ahli parti, mereka tetap akur dengan keputusan untuk tidak bersama DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang seterusnya UMNO kekal bertanding atas logo Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, Wanita UMNO sekali lagi ingin menegaskan akan terus memberi kepercayaan kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli MKT dalam meneliti, mengkaji dan membuat keputusan politik yang terbaik demi memastikan UMNO kembali menjadi pilihan rakyat dan pengundi.

“Wanita UMNO percaya apa pun keputusan UMNO, ia adalah untuk memastikan kepentingan dan kedudukan parti kerana UMNO adalah sebuah pertubuhan yang bukan sahaja memperjuangkan orang Melayu, Islam dan Raja-raja tetapi menyatukan semua bangsa.

“Sebagai tulang belakang parti, Wanita UMNO akan sentiasa memberikan seluruh komitmen terhadap perjuangan tanpa belah bagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, semua perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2020 sebulat suara bersetuju agar parti itu menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai PPBM.

Mereka menyatakan persetujuan apabila ditanya oleh Ahmad Zahid semasa beliau menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden.

Advertisements

Ahmad Zahid dalam ucapannya turut memberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet kerajaan PN bahawa pelantikan mereka diputuskan oleh parti.

Beliau juga mencabar menteri-menteri Kabinet dari UMNO untuk meletakkan jawatan seiring dengan keputusan sebulat suara yang dicapai agar parti menarik diri dari kerajaan PN.

Noraini juga merupakan Menteri Pengajian Tinggi dalam Kabinet kerajaan PN.

Setakat ini, enam pemimpin tertingggi UMNO telah menyatakan kesediaan mereka untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam ucapan dasarnya, Ahmad Zahid memberitahu, penolakan akar umbi telah pun diterjemahkan melalui usul yang diluluskan dalam 124 persidangan perwakilan UMNO bahagian.

Malah, katanya, sebanyak 147 daripada 191 ketua UMNO bahagian turut bersetuju menolak kerjasama tersebut. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan