31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

941 kes baharu, paling rendah sejak Dis 2020

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Selepas empat bulan berlalu, situasi COVID-19 di Malaysia mencatatkan perkembangan yang memberangsangkan dengan mencatatkan kes jangkitan baharu di bawah 1,000 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 941 kes baharu dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 342,885 kes.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 933 kes adalah kes tempatan melibatkan 653 warganegara dan 280 bukan warganegara.

Kes import pula adalah sebanyak lapan kes melibatkan dua warganegara dan enam bukan warganegara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 219 kes (23.3 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 175 kes (79.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak192 kes (20.4 peratus) dan Johor sebanyak 171 kes (18.2 peratus),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebanyak 63 kes (6.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Pagar Bukit Chagar (60 kes), Kluster Penjara Harapan (1 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes), dan Kluster Tembok Taiping (1 kes).

Dr Noor Hisham menambah, sebanyak lima kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini, melibatkan empat warganegara dan seorang bukan warganegara.

Setakat hari ini, sebanyak 1,260 kematian dicatatkan sejak COVID-19 mula melanda Malaysia.

kes baharu

Selain itu, seramai 166 pesakit COVID-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan sebanyak 73 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 1,097 kes dilaporkan sembuh hari ini, menjadi jumlah kumulatif 327,406 kes atau 95.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit.

Dr Noor Hisham memberitahu, sebanyak 14,219 kes dilaporkan masih aktif.

Terdapat tiga kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan dua kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti:

KLUSTER SEKSYEN 16
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Hulu Langat dan Sepang di Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-327393) dilaporkan positif COVID-19 pada 18 Mac 2021 hasil saringan kontak rapat. Kluster ini melibatkan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi. Sehingga 29 Mac 2021, sejumlah 322 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JALAN AZLAN
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kepong dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Kuala Langat di Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-338600) dilaporkan positif COVID-19 pada 26 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan sebuah pusat pentadbiran awam yang terletak di Jalan Sultan Azlan Shah, Sentul, Kepong. Sehingga 29 Mac 2021, sejumlah 70 individu telah disaring, di mana sembilan (9) kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER TAMAN VISTAGRO
Kluster komuniti ini melibatkan daerah Sri Aman di Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-337909) dilaporkan positif COVID-19 pada 25 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan berlaku iaitu di Taman Vistagro, Sri Aman. Sehingga 29 Mac 2021, sejumlah 179 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan