KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan menghentikan serta-merta semua penjualan ais krim yang diaduk dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) demi keselamatan pengguna.
Ini kerana menurut KKM, ubat batuk tersebut adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah KKM di bawah kategori Tradisional.
Kata kementerian itu, ubat batuk tersebut digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti dinyatakan pada labelnya.
“Di bawah Seksyen 13B (2) Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan.
“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” kata KKM dalam kenyataan hari ini.
KKM berkata, pihaknya memandang serius isu penjualan produk ais krim yang bercampur dengan ubat batuk tradisional tersebut yang tular dalam media sosial.
Katanya, KKM menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah menyemak aktiviti penjualan di premis yang ditularkan dan mendapati ais krim tersebut disediakan bersama picagari berisi ubat batuk Pei Pa Koa.
Dalam pada itu, KKM juga mahu semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial agar menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.
“Pihak industri makanan adalah diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan,” katanya.
Orang ramai juga, tambah KKM, dinasihat agar lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati membeli makanan yang mungkin diaduk dengan bahan tidak sesuai atau tidak selamat dimakan. – Edisi 9

