26.2 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Kilang proses ubat batuk tiruan diserbu, seorang wanita ditahan

Mesti Baca

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membuat serbuan ke atas sebuah premis dipercayai menjalankan kerja-kerja memproses ubat batuk tiruan di Mantin, Negeri Sembilan pada 15 Disember lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) itu hasil aduan yang diterima serta risikan awal yang dilakukan KKM selama tiga bulan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit, pasukan serbuan menemukan sejumlah 10,000 botol ubat batuk yang telah siap dibungkus.

Katanya, turut ditemukan ialah 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun, kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan bagi tujuan memproses ubat batuk yang menggunakan jenama ubat batuk terkenal yang disyaki tiruan.

“Kesemua bahan-bahan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM236,516.

“Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan seorang individu wanita, warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit, berumur 38 tahun untuk membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815],” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu.

Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, kata beliau, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

Jelas beliau, jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga ahun atau kedua-duanya.

Advertisements

“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Azman berkata, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan.

Katanya, hasil tindakan awal, sebanyak 56 akaun telah dibekukan melibatkan sembilan entiti di mana empat daripadanya merupakan akaun syarikat manakala selebihnya lima akaun individu dengan keseluruhannya berjumlah RM10.68 juta.

Selain itu, tambah Azman, dua bangunan kilang di kawasan perindustrian ringan yang dijadikan tempat pemprosesan telah disita dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM2.6 juta.

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi,” katanya.

Selain itu, Azman berkata, KKM pula akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366].

Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 366, katanya, pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“KPDN ingin memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti memproses dan menjual barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah, terutamanya berkaitan barangan ubat-ubatan seumpama ini kerana boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya.

Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terutamanya apabila membeli ubat-ubatan sama ada di premis fizikal atau secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya selain tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan kesihatan pengguna itu sendiri. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan