SEIRING dengan visi Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi sebuah universiti terkemuka dunia menjelang 2025, bakat kepemimpinan dalam kalangan mahasiswanya turut digilap menerusi program khas yang dinamakan ASEAN Leadership BenchMax 2023.
Menerusi program yang diadakan pada 26 hingga 30 Disember lalu, seramai 20 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam sesi 2022/2023 diterbangkan ke Bangkok, Thailand bagi menerokai keindahan negara itu sambil mengutip pengalaman baharu dan berkongsi citra budaya berbeza.
Pengarah Program ASEAN Leadership BenchMax 2023, Nur Fatini Hazan, berkata program terbabit memberikan pengalaman berharga kepada kesemua peserta terutama dalam mengadaptasi pelbagai ilmu baharu.
“Program ini sangat membantu dalam membentuk karakter dan jati diri yang holistik.
“Antaranya melalui elemen pengucapan awam, perbincangan ilmiah, pertukaran budaya, dan pemahaman sistem kepemimpinan mahasiswa di Thailand,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) dan Student Government Chulalongkorn University (SGCU).
“Pengisian ASEAN Leadership BenchMax 2023 termasuk forum ‘Empowering Leaders Towards Culturalism, Research, Innovation and Mental Well-Being’ yang memfokuskan aspek kebudayaan, penyelidikan, inovasi dan kesejahteraan mental.
“Bagaimanapun, lawatan ini tidak dapat berjalan lancar tanpa komitmen pelbagai pihak termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pejabat Perdana Menteri (PMO), Expressionz Professional Suites, Diah Exclusive, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM,” katanya.
Sepanjang acara, mahasiswa UiTM diberi peluang menerokai ilmu penting termasuk sains, teknologi, kemanusiaan, keusahawanan dan kepimpinan.
Selain itu, mereka turut dibawa menyantuni komuniti setempat bagi memenuhi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Satu daripada aktiviti CSR dijalankan adalah, ‘Loving Hands Project’, di mana peserta menyantuni sebuah komuniti rumah anak yatim dikenali sebagai Baan Hathairak.
Di sana, mahasiswa menjalankan gotong-royong membersihkan fasiliti terbabit dan memberikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian.
Rombongan MPP UiTM Shah Alam turut mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Thailand selain memperkenalkan seni budaya Malaysia kepada masyarakat tempatan melalui acara ‘flashmob’ di Asiatique The Riverfront, Bangkok.
Katanya lagi, program ASEAN Leadership BenchMax 2023 memberikan banyak manfaat kepada peserta dalam aspek kemenjadian mahasiswa di universiti.
Sebagai contoh, pemimpin pelajar dapat memperoleh pengetahuan baharu dan perspektif global, memperkaya pengalaman akademik dan pembangunan diri mereka.
Pada masa sama, mereka berpeluang untuk memahami isu global dan berkolaborasi dalam projek antarabangsa, sekali gus membentuk pemimpin yang peka dan berdaya saing di peringkat global.
Selain itu, penyertaan dalam program sukarelawan atau projek komuniti dilihat berupaya memperkukuh nilai kepimpinan berbudi pekerti dan sifat bertanggungjawab. -Edisi 9