29.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Kes buli : KPM siasat pelajar dibelasah dalam belukar

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan kes buli membabitkan pelajar dibelasah di dalam belukar yang tular di media sosial bagi memastikan kes itu dapat diselesaikan segera.

KPM berkata, pihak sekolah juga telah diminta untuk memastikan tindakan disiplin diambil ke atas pelajar yang bersalah selain mengarahkan salah laku terbabit direkodkan.

“KPM telah mengambil langkah-langkah awal bagi menangani kes ini berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan Bawah KPM.

“Ini termasuk dengan menghubungi ibu bapa atau penjaga, menjalankan siasatan yang telus dan terperinci, memaklumkan kes kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada semua pelajar terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan tular sebuah video pergaduhan membabitkan dua individu dipercayai pelajar di sebuah sekolah menengah di ibu negara.

Video berdurasi 14 saat yang dimuat naik pengguna Instagram itu memaparkan seorang pelajar berpakaian sukan sebuah sekolah menengah dipercayai duduk di atas seorang pelajar yang lain di suatu kawasan belukar.

Advertisements

Menerusi video berkenaan, pembuli berkenaan dilihat bukan hanya memaki hamun pelajar yang dibuli, malah turut membuang sampah daun kering yang dikumpulkan ke atas mangsa.

KPM menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaan mereka.

“Pada masa sama, KPM menyeru semua pihak termasuk media dan orang ramai untuk mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada dengan tidak menularkan identiti kanak-kanak yang terbabit dalam salah laku buli.

“Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] memperuntukkan identiti kanak-kanak yang terbabit dalam kes jenayah tidak boleh didedahkan dan perlu dilindungi,” katanya.

Malah, KPM turut meminta seluruh masyarakat memberi kerjasama untuk tidak menormalisasikan salah laku buli.

Katanya, KPM menyediakan empat saluran utama bagi membolehkan pelajar, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat aduan mengenai kes buli dan gangguan seksual iaitu menerusi talian khas Aduan Buli, aplikasi WhatsApp, emel [email protected] dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan