Sunday, July 19, 2026

Kes buli Zara Qairina: Lima remaja akan didakwa Rabu ini

Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan.

Mesti Baca

SERAMAI lima remaja di bawah umur akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah Rabu ini berhubung kes buli pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, kesemua remaja terbabit berusia di bawah 18 tahun akan dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu bagi proses pertuduhan.

“Seramai lima orang akan dituduh pada Rabu ini di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, kerana kesalahan berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina.

“Mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan membuat pertuduhan ke atas beberapa suspek di mahkamah berdasarkan keterangan yang ada.

AGC berkata, tindakan itu setelah pihaknya meneliti kertas siasatan kes kematian remaja berusia 13 tahun itu yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan,” kata kenyataan itu hari ini.

AGC menegaskan, walaupun keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli dibuat, namun keputusan tersebut tidak akan menjejaskan siasatan yang masih berjalan.

Katanya, ini termasuk prosiding inkues yang akan dijalankan oleh Mahkamah Korober Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

Semalam, AGC berkata, pihaknya telah memohon agar kes tersebut dipercepatkan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan, bukan sahaja kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina, tetapi juga kepentingan masyarakat umum.

Pada 13 Ogos lalu, AGC telah membuat keputusan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu.

Ini termasuk mengenal pasti sama ada kematian remaja terbabit terdapat unsur jenayah atau sebaliknya.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pagi 16 Julai. – Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan