25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PPBM, PAS tolak jajaran politik baharu pasca PRU-15

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAS bertegas menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terutamanya yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Penegasan itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan media itu dikeluarkan susulan pertemuan kepimpinan tertingggi kedua-dua parti semalam yang diketuai oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hamzah dan Takiyuddin berkata, pertemuan itu adalah bagi merangka kerjasama lebih mantap dan lebih berstrategi dalam Perikatan Nasional (PN).

Mereka menambah, PPBM dan PAS juga komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk.

Kata mereka, kedua-dua parti itu bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendukung konsep tersebut.

“Sekali gus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama,” jelas mereka.

Selain itu, Hamzah dan Takiyuddin memberitahu, PPBM dan PAS akan terus bekerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU-15.

“PPBM dan PAS selaku antara parti pengasas utama PN akan menubuhkan suatu Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti khususnya bagi menghadapi PRU-15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.

“Segala keputusan yang dicapai akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk dimuktamadkan secara kolektif dalam kalangan semua parti komponen,” jelas mereka.

Hamzah dan Takiyuddin berkata, PPBM dan PAS menyeru kepada semua pertubuhan dan persatuan Melayu, Islam dan bumiputera terutamanya dan rakyat Malaysia yang cintakan negara agar bersatu hati untuk bersama-sama berjuang dalam saf yang sama demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Semua perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Ahad lalu sebulat suara bersetuju agar parti itu menarik diri daripada kerajaan PN yang diketuai PPBM.

Mereka menyatakan persetujuan apabila ditanya oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa beliau menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden.

Ahmad Zahid dalam ucapannya turut memberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet kerajaan PN bahawa pelantikan mereka diputuskan oleh parti.

Beliau juga mencabar menteri-menteri Kabinet dari UMNO untuk meletakkan jawatan seiring dengan keputusan sebulat suara yang dicapai agar parti menarik diri dari kerajaan PN. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan