29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Menteri, timbalan menteri UMNO kekal dalam Kabinet PN

Mesti Baca

CYBERJAYA – Semua menteri dan timbalan menteri dari UMNO akan terus kekal berada dalam Kabinet bagi membolehkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus berfungsi dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.

“Menteri-menteri UMNO menemui saya pada Isnin lalu. Mereka meminta nasihat saya mengenai kedudukan mereka di dalam Kabinet, berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada dalam Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa ini, UMNO mempunyai sembilan menteri dan lima timbalan menteri dalam Kabinet.

Mereka terdiri daripada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Lima timbalan menteri dari UMNO pula ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Yazid; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Muhyiddin menambah, pada masa ini tumpuan kerajaan adalah untuk memerangi COVID-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara.

Menurut beliau, beberapa orang menteri dari UMNO memegang portfolio penting yang berkaitan dengan fokus kerajaan pada masa ini.

“Justeru, saya tidak mahu peletakan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Dengan kesepakatan ini, saya memberi jaminan bahawa Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang,” katanya.

Semua perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Ahad lalu sebulat suara bersetuju agar parti itu menarik diri daripada kerajaan PN yang diketuai PPBM.

Mereka menyatakan persetujuan apabila ditanya oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa beliau menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden.

Ahmad Zahid dalam ucapannya turut memberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet kerajaan PN bahawa pelantikan mereka diputuskan oleh parti.

Beliau juga mencabar menteri-menteri Kabinet dari UMNO untuk meletakkan jawatan seiring dengan keputusan sebulat suara yang dicapai agar parti menarik diri dari kerajaan PN. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan