25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pas atau UMNO patut kembali ke pangkal jalan?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh MOHAMAD ASRI

Amalan melayan dan memuliakan tetamu amat dituntut dalam Islam. Amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim. Tetamu yang datang berkunjung dikatakan membawa rezeki manakala ketika keluar dia membawa keluar sekali perkara-perkara yang tidak baik.

Keadaan ini bagaimanapun sangat berbeza ketika UMNO melayan ‘tetamunya’ Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang baru berlalu dua tiga hari lalu.

Semua orang tahu bagaimana Pas dilayan ketika hadir di perhimpunan tersebut. Dalam satu gambar yang sedang viral, Hadi dilihat diletakkan semeja dengan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yang beberapa hari sebelum itu dengan lancang melabel Pas sebagai ‘pelacur politik’ yang perlu ditewaskan pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Rentetan daripada itu Pas telah menghantar surat kepada Ku Li bagi menzahirkan kekesalan terhadap kenyataan kesat dan jelik tersebut.

Ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan tersebut Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi walaupun secara berlapik memberi peringatan kepada Pas mengenai sikap yang wajar diambil selaku sekutu UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) – pakatan longgar yang sehingga kini belum didaftarkan secara rasmi.

Abdul Hadi berada di atas pentas utama bersama pemimpin-pemimpin UMNO yang lain ketika Ahmad Zahid menyampaikan ucapan tersebut.
UMNO menurut Zahid, tidak akan mengambil sikap seperti ‘lalang ditiup angin’ dipercayai dituju kepada Pas, sekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN).

“Piagam MN yang termeterai belum sampai ke penghujungnya. Namun belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan. Kaki kita mesti berpijak di tapak yang sama.

‘’Tapak yang berbeza tidak menjanjikan sebarang keberuntungan, apatah lagi, pertambahan kerusi,’’ kata Zahid ketika berucap di perhimpunan tersebut.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Ahmad Maslan pula menyifatkan hala tuju Pas masih lagi samar berhubung sokongan kepada UMNO atau Bersatu.

Bagaimanapun kata Ahmad, UMNO tidak menetapkan sebarang tarikh akhir kepada Pas untuk menetapkan pendirian dengan parti mana mereka patut bekerjasama dalam pilihan raya umum nanti.

Walaupun dilayan sedemikian rupa, Abdul Hadi menunjukkan sikap berjiwa besar dan berlapang dada apabila meminta semua ahli Pas ‘bersabar dan menjadi pendamai’ dalam kemelut UMNO dan Bersatu.

Presiden Pas itu melihat apa yang berlaku sekarang adalah satu bentuk perpecahan umat Islam dan Pas tetap mahu menjadi parti yang membawa agenda perpaduan ummah.

Bagaimanapun sekiranya UMNO berterusan menekan Pas mendesak mereka memilih antara MN dan PN, tidak mustahil parti tersebut akan membuat pendirian menjelang pilihan raya umum nanti.

Hadi sebelum ini secara terbuka menegaskan parti itu menyertai PN kerana mahu bertanding dalam pilihan raya sebagai kerajaan dan bukannya pembangkang.

Parti itu menyertai PN kerana mahu menegakkan perpaduan umat Islam dan bukan Islam dalam PN dengan menolak fahaman fanatik, ekstrem, liberal, tidak kuat pegangan agama dan bersikap oportunis.

Presiden Pas itu turut menegaskan, perpaduan ummah juga bukan untuk menyelamatkan parti atau beberapa orang pemimpin tertentu tetapi bersama-sama menyelamatkan negara dan rakyat.

Jika diamati kata-kata Hadi itu , banyak mesej yang cuba disampaikan secara tersirat dan tersurat kepada UMNO dan Bersatu.

Jika Pas mahu bertanding dalam pilihan raya sebagai kerajaan dan bukan pembangkang , ini bererti Pas akan bertanding sebagai salah satu parti dalam gabungan PN sebagaimana sekarang.

Muafakat Nasional (MN) pula yang turut dianggotai UMNO dan Pas, hanyalah satu kerjasama longgar yang tidak berdaftar sebagaimana PN.

Presiden Pas itu turut mengulas secara panjang lebar tentang perpaduan ummah dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia sama ada sesama Islam mahupun bukan Islam, isu integriti serta kebajikan rakyat yang dilihat sejajar dengan apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan PN.

Kenyataan Hadi itu secara tidak langsung menyahut tawaran baharu PN yang pernah disebut oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Perhimpunan Agung Gerakan awal bulan ini .

Presiden Pas sudah memberi bayangan awal. Sebagai orang lama dalam politik Ahmad Zahid sudah pasti dapat membaca dan menelah apa yang diperkatakan Abdul Hadi itu.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan