28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Op Kuda Laut: 2 kapal asing ceroboh perairan negara

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan berjaya menahan sebuah kapal tangki dan sebuah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara dalam Op Kuda Laut minggu lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, KM Amanah telah menahan sebuah kapal tangki yang disyaki berasal daripada Thailand itu pada jarak 110 batu nautika dari muara Tok Bali.

“Kapal tangki tersebut ditahan pada 18 Mac 2021 sekitar pukul 8.08 pagi dan tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan pada 19 Mac 2021 lebih kurang pukul 11.00 pagi,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau menambah, merupakan bot nelayan asing dari Vietnam pula telah ditahan oleh bot Maritim Malaysia pada jarak 45.1 batu nautika dari muara Tok Bali pada 19 Mac 2021 sekitar pukul 12.30 tengah hari dan tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan pada pukul 6.00 petang.

Muhd Nur Syam Asmawie memberitahu, kapal tangki itu dikendalikan oleh lapan kru termasuk master yang merupakan warga Thailand dan Kemboja berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun.

“Manakala bot nelayan Vietnam itu pula dikendalikan empat kru termasuk tekong berusia 28 hingga 36 tahun yang kesemuanya warga Vietnam.

“Kesemua kru termasuk tekong dan master kedua-dua vesel tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa ditahan,” jelasnya.

Menurut beliau, nilai keseluruhan penahanan kedua-dua vesel termasuk bekalan diesel dan hasil gamat dianggarkan berjumlah lebih kurang RM1.6 juta.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata, bagi kapal tangki, kes akan disiasat di bawah Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Jika sabit kesalahan, setiap kru boleh dikenakan denda tidak kurang RM200,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali kerana kerana tiada dokumen berkaitan polisi insurans maritim.

“Siasatan juga akan dibuat sama ada kapal tangki ini menjadi ‘feeder’ kepada bot-bot nelayan asing Vietnam,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bot nelayan asing pula akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru kerana melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

Muhd Nur Syam Asmawie menjelaskan, kesemua 12 tahanan akan turut didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang boleh membawa kepada denda RM10,000 atau penjara tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan kerana kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Menurut beliau, semua 12 tahanan warga asing terbabit telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif.

“Dalam memastikan pemerkasaan pengoperasian, komuniti maritim terutamanya di perairan Kelantan digesa untuk melaporkan segera sebarang maklumat berkaitan kehadiran bot nelayan asing kepada pihak Maritim Malaysia.

“Sebarang maklumat boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-778 0070,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan