28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Pasangan influencer bulan madu beri keterangan palsu

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pasangan influencer yang mencetuskan kontroversi setelah memuat naik status dan gambar mereka berbulan madu dalam media sosial didapati memberi keterangan palsu berkaitan alasan memohon kebenaran rentas negeri.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mereka yang berusia 20-an telah membuat persiapan awal dengan menempah hotel lebih awal secara dalam talian pada Disember lalu untuk menyambut ulang tahun perkahwinan pada 17 Mac 2021.

Menurut beliau, polis telah menjalankan siasatan secara menyeluruh setelah wujud keraguan berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pasangan tersebut pada 20 Mac lalu.

“Oleh yang demikian, pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap kedua-dua individu tersebut di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Jika disabitkan kesalahan, pasangan ini boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM10,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial tentang pasangan influencer yang dikatakan melakukan pergerakan merentas negeri semata-mata untuk berbulan madu di Johor.

Advertisements

Ramai dalam kalangan netizen yang menyuarakan kekesalan terhadap sikap mereka itu dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan sekiranya influencer terbabit dan suaminya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Susulan isu tersebut, pasangan terbabit telah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Berdasarkan keterangan mereka kepada polis, pasangan itu mengesahkan bahawa mereka telah menginap di sebuah resort di Johor sepanjang urusan perniagaan mereka di sana dan telah mengemukakan bukti segala urusan perniagaan serta resit tempat penginapan mereka.

Sehubungan itu, Ashari memberitahu, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang diberikan untuk urusan perniagaan, kerja atau kecemasan dengan menjalankan program atau aktiviti peribadai lain serta bercanggah dengan alasan yang diberikan kepada pihak polis sewaktu membuat permohonan.

“Dalam usaha memerangi penularan COVID-19 ini, semua individu seharusnya memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama dalam mematuhi PKP sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Hotline IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan