24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

JKKP arah henti kerja projek SUKE serta-merta

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mengeluarkan arahan serta-merta untuk menghentikan sebarang aktiviti kerja di tapak projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) Pakej CA3.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, arahan itu bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap insiden kemalangan kira-kira pukul 8.30 pagi tadi yang menyebabkan tiga mangsa maut dan dua orang lagi cedera.

Menurut beliau, kementerian telah mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat daripada JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi menjalankan siasatan komprehensif untuk mengenal pasti punca kejadian serta menentukan sama ada terdapat perlanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam di tempat kerja di bawah kawalannya.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlaku kemalangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

AWANG HASHIM
AWANG HASHIM

Awang memberitahu, Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 ataupun OSHCIM juga mengkehendaki setiap pihak berkepentingan di dalam industri pembinaan termasuklah klien, pereka bentuk dan kontraktor, memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja seawal daripada peringkat reka bentuk projek pembinaan.

Advertisements

“Kementerian memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuklah kes yang melibatkan orang awam di sektor pembinaan.

“Kementerian menerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan JKKP sentiasa komited untuk terus meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini termasuk dalam sektor pembinaan,” jelasnya.

Terdahulu, Projek Lintasan Sungai Besi – Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) mengesahkan tiga pekerja pembinaan maut manakala seorang pengguna jalan raya cedera dalam insiden komponen kren gantri terjatuh di tapak projek SUKE berhampiran Jalan Alam Damai, awal pagi tadi.

Ketiga-tiga pekerja pembinaan yang maut adalah warga China.

“Kejadian difahamkan berlaku apabila salah satu dari komponen kren gantri terjatuh dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.

“Susulan kejadian tersebut, pasukan ‘Emergency Response Team’ SUKE bersama anggota bomba telah menutup laluan trafik di kedua-dua hala dan kerja-kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan,” jelas Prolintas. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan