24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dituduh mencabul anak

Mesti Baca

CYBERJAYA: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tiga tuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul dan mengaibkan kehormatan anak gadisnya pada Julai 2020 dan Januari lalu.

Memetik laporan BH Online, tertuduh yang berusia 49 tahun itu mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja biru dan seluar hitam dilihat hadir ke mahkamah seorang diri.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap anak kandungnya yang berusia 21 tahun dengan maksud mencabul kehormatan mangsa di sebuah rumah di Taman Kosmo Jaya, Off Jalan Sentul di sini.

Kejadian didakwa berlaku antara pukul 1 hingga 2 pagi, 16 Julai 2020 dan pukul 12.45 tengah malam pada 9 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan mengaibkan kehormatan mangsa yang sama di dalam kereta jenis Mercedes antara pukul 12.45 tengah malam hingga 1 pagi pada 17 Julai tahun lalu.

Advertisements

Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Josiendra Abu Senin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Beliau berkata, jumlah ikat jamin itu berpatutan memandangkan tertuduh adalah ahli perniagaan berjaya dan memiliki beberapa kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang.

Walau bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam M Puravelan memohon dibenarkan jaminan antara RM20,000 hingga RM30,000 dengan alasan sudah diberikan jaminan polis sejak sebulan lalu selain turut memberikan kerjasama yang baik.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 April ini.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan