33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Konsultasi maya Malaysia-EU bincang isu diskriminasi sawit

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Malaysia telah mengadakan sesi konsultasi secara maya bersama Kesatuan Eropah (EU) berhubung tindakan undang-undang ke atas kesatuan berkenaan berkaitan isu yang dikaitkan dengan diskriminasi kepada industri sawit negara pada 17 Mac lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pelaksanaan sesi itu adalah susulan daripada permohonan kerajaan Malaysia untuk menjalani sesi konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah dibuat pada 15 Januari 2021.

“Sesi konsultasi ini antara lain adalah platform bagi mendapatkan penjelasan dan pemahaman lanjut berhubung tindakan EU terhadap pelaksanaan Delegated Regulation di bawah EU RED II.

“Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha ke arah penyelesaian kepada isu-isu yang dilihat sebagai diskriminasi ke atas minyak sawit negara yang dibangkitkan oleh Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Delegasi Malaysia diwakili oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan agensi lain yang berkaitan.

Sesi konsultasi itu diketuai oleh Mohd Khairuddin dan turut dihadiri oleh wakil dari Indonesia dan Colombia sebagai negara pemerhati.

Mohd Khairuddin menambah, Malaysia akan meneliti keseluruhan maklum balas dan penjelasan yang diberikan oleh pihak EU sepanjang sesi konsultasi diadakan.

Beliau memberitahu, sebarang tindakan susulan akan diambil sewajarnya selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah WTO.

“Komitmen dalam proses perundangan terhadap EU berhubung isu antiminyak sawit akan terus menjadi keutamaan KPPK dalam memastikan kepentingan industri sawit negara merangkumi pekebun kecil sawit sentiasa dijaga dan diutamakan,” jelasnya.

Pada 5 Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, Malaysia menyertai Indonesia sebagai negara yang memfailkan tindakan undang-undang terhadap EU susulan tindakan diskriminasi blok ekonomi itu terhadap produk keluaran kedua-dua negara menerusi kempen anti minyak sawit.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak Indonesia dalam isu diskriminasi minyak sawit terutama memperkasakan Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC),” katanya dalam sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo sempena lawatan rasminya ke Indonesia.

Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia menzahirkan kebimbangan mengenai kempen anti-minyak sawit yang berlaku terutama di Eropah, Australia dan Oceania.

Perdana Menteri berkata, kedua negara sependapat kempen anti-minyak sawit itu tidak berasas dan tidak menggambarkan kelestarian industri sawit dunia serta bercanggah dengan komitmen EU kepada WTO mengenai amalan perdagangan bebas. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan