Ini perkahwinan ketiga bagi kedua-dua pengantin
GOSIP yang tersebar konon pasangan duda-janda, Engku Emran dan Noor Nabila mempunyai hubungan cinta akhirnya terjawab apabila mereka selamat diijab-kabulkan hari ini.
Pasangan ini mula dikesan mempunyai ‘hubungan istimewa’ sejak awal bulan namun mereka tidak pernah mengesahkannya.
Kisah hubungan bekas suami kepada Laudya Cynthia Bella dengan bekas isteri Shaarnaz Ahmad itu turut mendapat perhatian media-media di Indonesia.
Hari ini pasangan itu dinikahkan oleh adik lelaki pengantin perempuan iaitu Mohamed Aqief yang berwakil-walikan bapa kandung mereka.
Pada majlis itu, Nabila menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin.
Menerusi perkongsian di Instagram Story Neelofa, majlis pernikahan itu diadakan di sebuah masjid namun tidak dinyatakan lokasinya.
Kelihatan juga Nabila dan Emran sedondon dalam persalinan warna putih. Hadir sama pada majlis itu adalah ahli keluarga Neelofa.

Nabila bercerai dengan Shaarnaz Julai tahun lalu selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga. Mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden.
Engku Emran pula mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinannya pertamanya dengan pelakon dan penyanyi, Erra Fazira manakala perkahwinan dengan Laudya tidak dikurniakan anak.
Engku Emran berpisah dengan Laudya, Julai tahun lalu selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
Sementara itu, Neelofa menerusi Instagramnya mendoakan agar pasangan tersebut bahagia di dunia dan akhirat.
“Moga Allah berikan kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia yang sementara ini dan di akhirat yang kekal abadi kepada Emran dan Nabila,” katanya. – Edisi 9