26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Korea Utara putuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia

Mesti Baca

SEOUL – Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, lapor agensi berita rasmi negara komunis tersebut, KCNA hari ini yang memetik kenyataan Kementerian Luar negara itu.

Perkembangan itu adalah ekoran keputusan mahkamah di Malaysia kelmarin yang membenarkan seorang lelaki warga Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk berdepan tuduhan pengubahan wang haram.

“Malaysia telah melakukan jenayah yang tidak boleh dimaafkan dengan menghantar seorang warga Korea Utara ke AS.

“Kementerian Luar Korea Utara dengan ini mengumumkan hubungan diplomatik dengan Malaysia diputuskan sepenuhnya,” jelas kenyataan itu.

Negara komunis tersebut turut menyifatkan tindakan itu sebagai tindakan agresif terhadap Pyongyang yang dilakukan setelah menerima tekanan AS.

Negara yang diperintah diktator Kim Jong-un itu memberi amaran bahawa Washington akan menerima pembalasan.

Pada 3 Mac lalu, seorang lelaki warga Korea Utara yang bernama Mun Chol Myong gagal dalam rayuan terakhir di mahkamah tertinggi Malaysia untuk menentang perintah ekstradisi ke AS bagi berdepan dakwaan pengubahan wang haram.

Chol Myong yang menetap di Malaysia selama satu dekad bersama keluarganya, ditangkap pada 2019 susulan permintaan ekstradisi oleh AS.

Di mahkamah, lelaki itu menafikan dakwaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa beliau mengetuai sebuah kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan antarabangsa dengan membekalkan barangan terlarang ke Korea Utara dan mengubah dana haram melalui beberapa syarikat pangkalan hadapan.

Hubungan diplomatik Korea Utara dan Malaysia pernah bergolak apabila abang tiri diktator Jong-un, Kim Jong-nam dibunuh di Malaysia pada Februari 2017.

Jong-nam sememangnya diketahui menghabiskan banyak masanya di luar negara dan sering mengeluarkan kenyataan mengecam pemerintahan dinasti komunis di negara itu.

Mendiang dipercayai berusia sekitar 40-an.

Beliau telah diracun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh dua wanita masing-masing warga Indonesia dan Vietnam dipercayai ejen Korea Utara yang masih bebas.

Jong-nam dan Jong-un ialah anak kepada bekas diktator komunis, Kim Jong-il yang meninggal dunia pada 2011, namun mereka berlainan ibu.

Pada 2001, Jong-nam ditahan di lapangan terbang Jepun atas kesalahan membawa pasport palsu.

Mendiang berkata ingin melawat Disneyland Tokyo ketika itu.

Selain Jepun, beliau sering ke Hong Kong, Macau dan China.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan