31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Isu kalimah Allah: Pemilik FB Mujahidah Malaysia disiasat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan ke atas pemilik akaun Facebook Mujahidah Malaysia yang didakwa mempunyai kecenderungan menghasut orang ramai menentang isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan dibuka pada 13 Mac lalu.

Menurut beliau, PDRM telah mengesan beberapa kenyataan yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta bersifat menghasut dasar agama dan perkauman melalui rakaman video berdurasi 12 minit 34 saat yang dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook Mujahidah Malaysia.

“Klip video tersebut telah memperoleh 9,700 respon, 5,900 komen dan 7,300 perkongsian,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Huzir menambah, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau memberitahu, suspek telah dikenal pasti dan akan hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Polis menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam,” jelasnya.

Minggu lalu, media melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.

Ketika membaca penghakimannya, Nor Bee berkata, mahkamah membenarkan deklarasi dalam mengamal kebebasan beragama yang terlindung dalam Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, suatu deklarasi berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa pemohon dijamin hak kesamarataan antara warganegara antara lain atas alasan keagamaan dalam pentadbiran undang-undang. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan