31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kaki disko tak layak dapat peguam percuma – Pemuda UMNO

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Khidmat guaman percuma yang disediakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO bagi mereka yang dikenakan kompaun maksimum RM10,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak merangkumi kesalahan seperti berhibur di kelab malam.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, khidmat itu adalah untuk kesalahan-kesalahan kecil sahaja.

“Ini untuk kesalahan-kesalahan kecil dan kesalahan pertama macam pakai mask tidak sempurna atau kecuaian scan MySejahtera.

“Untuk kesalahan jelas seperti berhibur di kelab malam tidak berlesen, pihak kami tidak akan bantu,” katanya dalam ruangan komen laman Facebook miliknya hari ini.

Beliau menjelaskan tentang khidmat guaman percuma yang ditawarkan Pemuda UMNO seperti dalam kenyataan berikut:

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat prihatin dengan keluh-kesah rakyat mengenai isu peningkatan amaun kompaun berjumlah RM10,000 yang melibatkan kes-kes perlanggaran SOP.

Walaupun secara prinsipnya, Pemuda UMNO menyokong usaha Kerajaan memperketatkan SOP untuk membendung penularan COVID-19, namun jumlah kompaun yang terlalu tinggi hakikatnya amat membebankan rakyat lebih-lebih lagi di kala mereka sudah sedia terbeban dengan pelbagai kepayahan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada orang ramai yang dikompaun dan merasakan diri mereka dianiayai akibat tindakan penguatkuasaan SOP PKP atas kesalahan-kesalahan kecil seperti tidak memakai pelitup muka dan sebagainya.

Tawaran ini meliputi nasihat guaman dan representasi peguam kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membuat rayuan pengurangan kompaun bagi kesalahan-kesalahan melibatkan PKP.

Dalam masa terdekat, Pemuda UMNO akan menyediakan platform secara dalam talian untuk individu-individu yang dikompaun bagi menghantar maklumat dan mendapatkan khidmat nasihat perundangan.

Pemuda UMNO juga menyediakan dua talian hotline yang beroperasi untuk orang ramai memberikan maklum balas di talian:
📍013-7354116
📍013-7354117

Barisan Peguam-peguam dalam kalangan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang akan mengetuai pasukan ini adalah seperti berikut:
(i) Saudara Nik Saiful Adli Burhan (Pengerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia)
(ii)Saudara Faridzul Azlan Abd Shani
(iii)Saudara Muhamad Nur Aizat Noor Azam

Pemuda UMNO tetap berpendirian agar Kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menilai kembali jumlah kompaun RM10,000 yang ditetapkan agar rakyat tidak terus merasa teraniya dan terbeban. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan