27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

2 pelajar dibuang universiti gara-gara aksi Bollywood

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

LAHORE – Gara-gara perigi mencari timba, sepasang kekasih dibuang dari University of Lahore selepas rakaman video yang memaparkan aksi mereka berpelukan tular dalam media sosial.

Dalam video tersebut, pelajar wanita bernama Hadiqa Javaid dilihat melutut sambil memegang sejambak bunga di hadapan teman lelakinya, Shehryar Ahmad di hadapan khalayak ramai.

Dia turut melamar pelajar lelaki terbabit, satu perbuatan yang dianggap luar biasa di Pakistan yang masyarakatnya masih berpegang teguh kepada nilai-nilai tradisi termasuk berkaitan soal perkahwinan.

Kemudian, Hadiqa dan Shehryar berpelukan sambil disaksikan orang ramai di kawasan berkenaan.

Untuk makluman, perbuatan mereka yang meluahkan perasaan cinta secara terbuka merupakan satu amalan yang tidak diterima oleh masyarakat di Pakistan.

Pendaftar University of Lahore, Mian Khalid Karim dalam notis kepada pasangan kekasih terbabit menyatakan bahawa Hadiqa dan Shehryar telah dipanggil menghadap Jawatankuasa Disiplin Khas di Pejabat Rektor pada pukul 12 tengah hari, 12 Mac lalu.

Menurut beliau, mereka dipanggil kerana terlibat dalam kelakukan menjijikkan dan melanggar peraturan universiti.

Walau bagaimanapun, katanya, kedua-dua pelajar itu tidak hadir.

“Mengikut Seksyen 9 Peraturan Disiplin Am dan Kod Tatakelakuan di Kampus, Jawatankuasa Khas Disiplin memutuskan untuk membuang Cik Hadiqa Javaid dan Shehryar Ahmad kerana melanggar peraturan universiti dan mengingkari kod tatakelakuan,” jelas notis tersebut.

Advertisements

Mereka juga dilarang daripada memasuki mana-mana premis di University of Lahore dan kampus-kampus cawangannya.

Hadiqa dalam ciapan Twitter miliknya menyuarakan kekesalan atas tindakan yang diambil oleh pihak universiti.

“Saya dan Shehryar telah dibuang kerana melamar di premis universiti.

“Sangat menyedihkan kerana masyarakat kita menghancurkan cinta pasangan muda sedangkan mereka sepatutnya meraikannya,” katanya.

Sheryar turut membantah tindakan disiplin yang diambil oleh Universiti of Lahore terhadap mereka.

Dia mempersoalkan ada pasangan lain yang melakukan perkara serupa sebelum itu.

“Bolehkah sesiapa menjelaskan kepada kami apa kesalahan yang kami lakukan dengan membuat lamaran di depan khalayak ramai di University of Lahore?” soalnya.

Kisah mereka yang menyerupai babak dalam filem Bollywood itu menerima pelbagai reaksi daripada para netizen di Pakistan.

Ramai yang menyatakan simpati kepada Hadiqa dan Shehryar dan tidak kurang juga yang mengecam kedua-duanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan