26.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Imigresen tahan dalang sindiket pemalsuan dokumen

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seorang lelaki warganegara Pakistan berumur 37 tahun yang menjadi dalang sebuah sindiket pemalsuan dokumen Imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM di sebuah Kondominium mewah di Setapak, Kuala Lumpur, 12 November lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pemeriksaan di premis tersebut mendapati sebuah bilik dijadikan makmal untuk menghasilkan pelbagai jenis dokumen palsu.

Menurutnya, antara yang dijumpai adalah set peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai jenis cap perwakilan asing dan lain-lain peralatan yang digunakan dalam aktiviti haram itu.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai pelekat-pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), lesen memandu Malaysia dan visa negara asing siap dicetak yang disusun rapi dipercayai sedia untuk diserahkan kepada pelanggan.

“Turut dijumpai adalah stok pelekat yang masih kosong dan wang tunai berjumlah RM13,710 yang disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, soal siasat ke atas suspek telah membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium lain di Jalan Genting Kelang yang turut disewa untuk kegiatan tersebut.

Menurut beliau, pemeriksaan di premis berkenaan telah menjumpai cap-cap Pas Lawatan Sosial (PLS) dan lain-lain cap rasmi JIM palsu yang digunakan dalam pemalsuan dokumen.

Advertisements

“Modus operandi suspek adalah mengunakan PLKS sebuah syarikat pembersihan sebagai lesen untuk beliau bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini.

“Suspek juga dikesan menyewa beberapa kondominium mewah yang mempunyai akses terhad serta kawalan keselamatan ketat bagi menyukarkan siasatan dan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, sindiket berkenaan dikesan telah menjalankan kegiatan sejak setahun lalu dengan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS bergantung kepada kualiti yang dikehendaki oleh pelanggan.

“Manakala bagi lesen memandu, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50. Kegiatan haram ini telah menyebabkan kerugian hasil kerajaan khususnya dalam bentuk bayaran levi pekerja asing hingga mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas.

“Suspek akan ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan