32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

37 kes positif dikesan, Kg Tringgus bawah PKPD

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Tringgus di Bau, Kuching, Sarawak mulai esok hingga 21 Mac ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat hari ini, Kemenyerian Kesihatan telah melaksanakan sebanyak 596 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 37 kes positif telah direkodkan di Kampung Tringgus.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, PKPD di Kampung Tanah Merah di Kota Marudu, Sabah yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan lagi sehingga 22 Mac.

Ismail Sabri menambah, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 319 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan masih terdapat 181 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan kes-kes positif masih dilaporkan di lokaliti ini,” jelasnya.

PKPD di Kampung Emperoh Jambu di Padawan, Kuching, Sarawak pula akan tamat esok seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 368 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 28 kes telah direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” ujarnya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri menjelaskan, seramai 442 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 430 orang telah dikenakan kompaun manakala 11 individu direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan adalah aktiviti pusat hiburan (144), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (88), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (8) dan lain-lain (51),” katanya.

Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan telah menahan seramai 102 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas empat kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 114 buah bot/kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan