34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Rosmah kecewa keputusan mahkamah – Peguam

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah isteri bekas Perdana Menteri itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berhubung pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di Sarawak.

Perkara itu dimaklumkan Peguam beliau, Datuk Jagjit Singh kepada wartawan selepas prosiding selesai.

“Dia (Rosmah) tidak bercakap, emosi dia terganggu dan dia agak kecewa. Kami minta Rosmah untuk pulang ke rumah untuk kurangkan stres,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini mengarahkan Rosmah membela diri setelah mendapati wujud prima facie berhubung tiga pertuduhan tersebut.

Satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas Pegawai Khasnya, Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Advertisements

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa pada 20 Dis 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sebelum itu dilihat tenang ketika berada di kandang tertuduh semasa keputusan dibacakan oleh Mohamed Zaini.

Beliau bagaimanapun memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 9, 10, 15, 16, 17, 22 dan 23 Jun serta 12 dan 15 Julai untuk sesi pembelaaan kes berkenaan.

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan