25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kerajaan, KWSP setuju permudah kelulusan i-Sinar – Tengku Zafrul

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah berbincang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mempermudahkan proses kelulusan pengeluaran i-Sinar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah memohon atau permohonan sedang diproses.

“Ini akan melibatkan perubahan kepada sistem KWSP, yang akan mengambil sedikit masa. Masa juga diperlukan untuk membekukan transaksi buat sementara waktu.

“Ia bagi membolehkan sistem KWSP untuk mengkreditkan dividen bagi tahun 2020 ke dalam akaun ahli selepas pengumuman dividen pada hujung bulan Februari ini,” katanya menerusi Laporan LAKSANA ke-41.

Kerajaan pada 11 Februari lalu mengumumkan mengenai pemansuhan syarat i-Sinar KWSP bagi mempermudahkan ahli membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1.

Pemansuhan syarat i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki yang sedia ada.

Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 pula, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 atau maksimum RM60,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Keputusan kerajaan itu telah mendapat respons positif dan menggembirakan ribuan pencarum yang sebelum ini gagal dalam permohonan mereka kerana dianggap tidak memenuhi syarat.

Permohonan mereka boleh diteruskan jika mereka meletakkan dokumen sokongan.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan sentiasa peka kepada kelangsungan hidup bagi golongan rentan dan mereka yang amat terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Pengumuman pada 14 Februari mengenai pelanjutan tarikh tutup bagi pendaftaran baharu dan kemaskini bagi Bantuan PRIHATIN Rakyat (BPR).

”Tempoh yang sebelum ini dibuka dari 15 Januari 2021 sehingga 15 Februari 2021 telah dilanjutkan sehingga 25 Februari 2021.

“Ini bagi memastikan BPR akan diterima oleh mereka yang benar-benar layak,” ujarnya.

Beliau berkata, langkah-langkah tersebut diharap dapat membantu rakyat mengharungi cabaran semasa akibat pandemik. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan