36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PPLH 2.0 guna kaedah patuh syariah, urusan lebih telus

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) 2.0 akan dilaksanakan dengan menggunakan kaedah berbeza iaitu berlandaskan kepada pembiayaan patuh syariah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kaedah itu adalah berbeza dengan pelaksanaan PPLH sebelum ini.

Menurut beliau, kelebihannya adalah segala urusan pelanggan dilaksanakan secara telus dan pelanggan dapat melihat segala proses aliran kewangan yang terlibat.

“Pelanggan juga dibekalkan maklumat dengan jelas jumlah keseluruhan pembiayaan tanpa sebarang caj tambahan dan tersembunyi serta dilindungi takaful,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

PPLH 2.0 merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi menyokong insentif sebagai menyokong pertumbuhan sektor komoditi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Bagi memastikan sektor perkayuan terus disokong, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah menyediakan pinjaman sebanyak RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH 2.0).

Langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan berterusan pada masa hadapan.

Lebih menarik lagi, tambah Mohd Khairuddin, pembiayaan itu adalah satu-satunya pinjaman mudah bagi pembangunan ladang hutan yang ditawarkan di dalam negara ini.

Malah, kata beliau, kadar dan tempoh keseluruhan pembiayaan serta tempoh penangguhan kelak memberikan keuntungan kepada para pelanggan.

“Kementerian bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB) sentiasa komited dalam menambah baik program ini dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Mohd Khairuddin memberitahu, pelaksanaan PPLH terdahulu yang dimulakan sejak tahun 2007 telah berakhir pada tahun lalu.

Menurut beliau, sehingga 31 Disember 2020, seluas 126,457.99 hektar ladang hutan telah dibangunkan dan melibatkan 82 perjanjian daripada 70 buah syarikat dari seluruh Malaysia.

“Syarikat-syarikat peminjam akan mula membuat pembayaran balik pinjaman berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai.

“Kementerian berharap syarikat-syarikat peminjam dapat membuat perancangan bayaran balik pinjaman berdasarkan perjanjian terutamanya peminjam yang
akan membuat pembayaran mulai tahun 2022,” ujarnya.

Mohd Khairuddin berkata, kelancaran pembayaran balik itu penting bagi memastikan kelangsungan program pembangunan ladang hutan bagi memenuhi jaminan kelestarian dan daya saing industri perkayuan Malaysia di pasaran tempatan serta antarabangsa. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan